Belum ada keputusan FIFA untuk Indonesia, AFC boleh tolak permohanan tuan rumah Piala Asia 2023 sebagai pengajaran
Sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang keputusan atau hukuman yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap kejadian mengerikan yang berlaku di Indonesia.
Tragedi tragis yang berlaku sewaktu pertemuan di antara Arema FC menentang Persebaya Surabaya telah mencatatkan angka korban yang agak tinggi sekitar 129 nyawa dan ada di antaranya merupakan kanak-kanak.
Berkemungkinan besar FIFA belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memberi ruang kepada pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menyelesaikan masalah tersebut secara dalaman terlebih dahulu.
Mungkin juga FIFA tidak mengenakan hukuman atas dasar belas kasihan, namun sesuatu perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada mangsa yang terkorban.
Sekiranya FIFA tidak ingin mengambil sebarang tindakan, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) boleh memainkan peranan selaku badan induk bola sepak di Asia.
Salah satunya adalah dengan menolak bidaan yang dilakukan oleh pihak PSSI dalam menjadikan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.
Tindakan ini dilihat wajar bagi memberi pengajaran kepada kesemua peminat serta pihak pengurusan terhadap implikasi daripada perkara yang berlaku.
FIFA dan AFC berhak untuk mengekalkan hak penganjuran Piala Dunia B-20 tahun hadapan yang dimiliki oleh negara tersebut memandangkan pelbagai persiapan telah dilakukan serta tempoh yang semakin singkat.
Namun, untuk bidaan tuan rumah Piala Asia 2023, ia masih belum ditentukan dan AFC tiada masalah untuk secara langsung mengeluarkan Indonesia daripada senarai negara yang bertanding untuk menjadi hos.
AFC perlu melakukan pertimbangan terhadap tahap keselamatan penyokong dari negara lain yang akan sama-sama membanjiri stadium pada kejohanan tersebut.
Semestinya, keadaan bakal menjadi tegang tatkala Piala Asia merupakan salah sebuah pertandingan berprestij di benua ini.
Satu dunia bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap sesuatu dapat dilakukan dalam memastikan keadilan kepada semua yang terkorban dapat dicapai.
Setakat ini, pihak PSSI telah mengeluarkan beberapa hukuman kepada sesetengah pihak yang terlibat.
Antaranya adalah dengan mengenakan penggantungan seumur hidup kepada pengendali perlawanan Arema FC, Abdu Haris serta pegawai keselamatan Arema FC, Suko Sutrisno.
Arema FC juga dilarang daripada menjadi tuan rumah kepada mana-mana perlawanan sehingga ke penghujung saingan musim ini.
Diharap agar perkara seperti ini tidak akan lagi berlaku di masa depan bagi membolehkan kita menikmati suasana bola sepak yang aman dan tenteram seperti sedia kala.
Perlu diingat bahawa tiada sepak bola seharga nyawa!