Tertipu dengan persembahan ‘hambar’ Malaysia menentang Guam, strategi kurang bijak Indonesia memakan diri
Selepas dibelasah 5-1 oleh Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 semalam, Indonesia gagal layak ke kejohanan itu setelah berada di kedudukan ketujuh dalam ranking pasukan di tangga kedua terbaik.
Disebabkan kekalahan itu, ketua jurulatih Indonesia, Bima Sakti mengakui kesilapan percaturannya menyebabkan skuad kendaliannya gagal mara ke kejohanan tersebut.
Menurutnya, beliau silap langkah kerana tidak melakukan penggiliran pemain pada perlawanan-perlawanan sebelum ini yang menyebabkan para pemain Indonesia tampil keletihan ketika berdepan Malaysia.
Ini berbeza dengan ketua jurulatih negara, Osmera Omaro yang mengakui tidak tampil dengan kekuatan sebenar ketika hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan tercorot dalam kumpulan B, Guam.
Tindakan bijak Osmera yang sedar bahawa keputusan menentang Guam tidak memberi apa-apa makna dan mengambil keputusan untuk menyimpan ‘belang’ bagi perlawanan seterusnya harus diberi pujian walaupun beliau mengakui tidak mahu mencatat keputusan seri pada perlawanan itu.
Manakala pasukan Indonesia pula ‘tertipu’ dengan persembahan kurang meyakinkan Malaysia menentang Guam sehingga menyebabkan mereka rebah di bumi sendiri.
Jika dilihat berdasarkan perlawanan menentang Guam, sudah tentu Indonesia berada di kelas yang tersendiri selepas berjaya mencetak 14 jaringan tanpa balas.
Namun, ia tindakan yang kurang bijak apabila bermati-matian pada perlawanan itu sehingga menyebabkan pemain keletihan, sedangkan peraturan pertandingan sudah menetapkan bahawa perlawanan dengan pasukan di kedudukan dua tercorot tidak dikira untuk klasifikasi pasukan tempat kedua terbaik.
Bola sepak adalah permainan yang sangat bergantung kepada taktikal dan strategi, walau sehebat manapun sesuatu pasukan, taktikal dan strategi yang salah akan memakan diri.
Dan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-17 kali ini, jelas strategi yang ditunjukkan oleh Osmera adalah lebih bijak dan berkesan berbanding Bima Sakti.