Bintang bola sepak Iran didenda gara-gara protes terhadap pihak berkuasa, jejaskan persiapan pasukan ke Piala Dunia
Ketika ini, Iran sedang mengalami pergolakan selepas orang ramai memenuhi jalan raya bagi menyertai tunjuk perasaan terhadap kematian seorang wanita berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika dalam tahanan pihak polis.
Amini meninggal dunia pada 16 September lalu, tiga hari selepas berada dalam keadaan koma berikutan penahanannya oleh pihak polis kerana didakwa melanggar peraturan pakaian republik tersebut.
Orang ramai mendakwa bahawa Amini telah dipukul dan dikasari oleh pihak polis namun ia telah dinafikan pihak polis yang mengatakan gadis itu meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ disebabkan cerebral hypoxia.
Perkara itu turut mendapat perhatian bintang-bintang bola sepak Iran termasuk legenda, Ali Daei yang mengkritik perbuatan pihak berkuasa yang menentang tunjuk perasaan itu sebagai satu ‘penindasan’.
Tindakan beliau bagaimanapun telah menyebabkan beliau tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara itu dengan pasportnya dirampas.
Bukan beliau saja, beberapa nama lain seperti Sardar Azmoun dan Mehdi Taremi turut lantang mengkritik perkara itu.
Ali Daei sememangnya mempunyai pengaruh yang besar di negara itu, jadi tidak hairan pemain-pemain lain turut senada dengannya dalam melontarkan kritikan.
Perkara ini dilihat mampu memberi kesan kepada persiapan negara itu menuju ke Piala Dunia di mana mereka diundi dalam kumpulan B bersama-sama Amerika Syarikat, England dan Wales.
Azmoun yang bermain dengan Bayer Leverkusen di Bundesliga sendiri mengakui bahawa beliau berkemungkinan akan disisihkan daripada skuad Piala Dunia kerana memperjuangkan isu tersebut.
Ini pasti akan menyukarkan ketua jurulatih, Carlos Queiroz mencari pengganti menjelang kejohanan itu yang kira-kira sebulan lagi.
Ketika perlawanan persahabatan menentang Senegal bulan lalu, para pemain turut menutup logo negara itu dengan jaket sebelum sepak mula perlawanan sebagai tanda protes.
Dengan tekanan yang diberikan oleh skuad bola sepak Iran kepada pihak berkuasa, mendenda mereka hanya akan menjejaskan lagi persiapan skuad itu ke Qatar.
Ini akan menambah garam di luka buat negara itu yang sebelum ini gagal mempertahankan kejuaran Piala Futsal Asia selepas tewas kepada jepun baru-baru ini.
Apa yang dilakukan oleh para pemain-pemain tersebut hanyalah melontarkan suara mereka terhadap apa yang mereka rasakan telah melanggarkan hak asasi manusia.
Menganggap mereka sebagai ‘musuh’ hanya akan menyebabkan persiapan skuad itu ke Piala Dunia terganggu dan menjejaskan fokus pasukan pada kejohanan itu.