Ghaddar boleh bantu latih barisan serangan KL City FC jadi lebih tajam

1,887

Bagi yang mengikuti rapat perkembangan bola sepak tanah air sudah semestinya kenal dengan pemain Mohamad Ghaddar yang pernah menjadi penyerang sensasi di Liga Malaysia beberapa tahun lalu.

Bekas penyerang Kelantan, Felda United FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini boleh dikatakan antara penyerang import terbaik pernah beraksi di Liga Super.


Kehebatan Ghaddar telah menarik perhatian gergasi selatan yang telah membawa masuk pemain itu dari Kelantan dengan bayaran perpindahan yang dikatakan paling tinggi dalam sejarah bola sepak tempatan.

Ghaddar akhirnya kembali ke pangkuan kelab pertamanya di Lubnan iaitu Nejmeh SC yang mana beliau kemudian mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional.

Setelah sekian lama tidak mendengar sebarang khabar berita, pemain berusia 38 tahun kini sedang berada di Kuala Lumpur, Malaysia apabila memuat naik foto sedang makan bersama ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak.

Beliau sebelum ini pernah bermain di bawah kendalian Hodak pada tahun 2012 ketika bersama Kelantan yang mana ketika ini skuad The Red Warriors berjaya julang tiga trofi pada musim tersebut iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Gambar yang dimuat naik di Instagram milik Ghaddar turut disertakan dengan kapsyen mendoakan kejayaan buat Hodak dalam membawa KL City menjulang trofi Piala AFC pada 22 Oktober nanti.

Mungkinkah ada kemungkinan untuk Ghaddar kembali menabur bakti dalam Liga Malaysia? Mungkin bukan sebagai pemain, tetapi boleh sebagai jurulatih bagi membantu barisan serangan untuk jadi lebih tajam di hadapan gawang gol.

Kita tidak dapat menafikan kehebatan Ghaddar sebagai penyerang kerana sepanjang kariernya dalam saingan Liga Malaysia beliau telah menjaringkan 46 gol dalam 64 penampilannya.

Oleh itu, pengalaman luas pemain itu sebagai penyerang berbisa boleh dimanfaatkan oleh KL City untuk memperkuatkan lagi barisan serangan mereka untuk menjadi lebih efektif.

Dengan kedua-dua mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain, jadi tiada masalah untuk mereka kembali bekerjasama kerana Ghaddar tahu apa yang dimahukan oleh Hodak, dan Hodak juga tahu kemampuan Ghaddar.

Jadi persoalannya kini adakah ia akan menjadi kenyataan atau kedatangan bekas pemain itu di Malaysia sekadar pertemuan biasa dengan bekas jurulatih.