Nafuzi mahu bawa Terengganu FC ke Piala AFC terlebih dahulu sebelum fikir kekal atau tidak
Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak mahu berfikir mengenai masa depannya ketika ini sama ada akan kekal atau tidak bersama pasukan itu musim depan.
Sebaliknya, beliau mahu melunaskan misinya untuk membawa pasukan itu ke saingan Piala AFC terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.
“Apa yang penting sekarang adalah mencapai sasaran musim ini untuk layak ke saingan Piala AFC.
Lepas habis semua ini baru saya fikirkan masa depan saya, sekarang ini pasukan dan para pemain adalah lebih penting,”
katanya.
Mengulas mengenai peluang pasukannya ke Piala AFC, Nafuzi berkata, beliau tidak mahu bergantung kepada keputusan pasukan lain pada perlawanan terakhir liga Sabtu ini.
Beliau berkata, mereka sendiri wajib mencatatkan kemenangan supaya peluang untuk ke saingan tersebut cerah.
“Bagi saya peluang masih terbuka untuk ketiga-tiga pasukan (Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah) dan kita tidak boleh keciciran mata langsung.
Menentang Kedah Darul Aman nanti saya jangkakan perlawanan sukar buat kami kerana mereka bermain di home dan sudah tewas dalam beberapa perlawanan terakhir, sudah tentu mereka mahu bangkit.”
Dalam pada itu, Nafuzi tidak kisah lawan yang bakal ditemuinya nanti pada saingan Piala Malaysia kerana mahu fokus terhadap perlawanan terakhir liga.
Terengganu kini berada di tangga ketiga liga, satu mata di belakang Sabah yang berada di tangga kedua dan berkongsi 41 mata dengan Negeri Sembilan, tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol.
Terengganu bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman Sabtu ini bagi perlawanan terakhir Liga Super menentang Kedah Darul Aman.