Ismail Ibrahim harap UiTM FC akan bawa masuk pemain import untuk saingan Liga Super 2023

535

Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Ibrahim berharap pihak pengurusan pasukan akan mempertimbangkan untuk membawa masuk pemain import bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim depan.

Menurut Ismail, kehadiran pemain import berkualiti mampu membantu pemain-pemain tempatan untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan.


“Kita perlu lihat perancangan pihak pengurusan dan bajet terlebih dahulu. Jika mereka ada bajet untuk pemain import mungkin kita boleh bagi saingan.

Dengan pemain yang ada ketika ini mereka sudah ada pengalaman setahun bermain di Liga Perdana, jadi saya harap dengan adanya pemain import ia dapat bantu pemain tempatan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun menegaskan jika kelab mahu bawa masuk pemain import, beliau mahukan pemain berkualiti dan bukannya pemain import tangkap muat saja.

Dalam pada itu, Ismail turut gembira apabila sasarannya untuk layak ke Piala Malaysia pada tahun ini berjaya dicapai.

“Pihak pengurusan tidak menetapkan sebarang sasaran, tapi saya sendiri meletak sasaran harap pasukan ini akan menghabiskan musim di tangga keenam atau ketujuh dan kita berjaya duduki tangga ketujuh dan seterusnya layak ke Piala Malaysia. Jadi kedua-dua sasaran saya tercapai.”

Pasukan berstatus universiti ini bakal berdepan pasukan yang berada kedudukan ketiga Liga Super iaitu diantara Sabah FC, Terengganu FC atau Negeri Sembilan FC.

Berikutan itu, Ismail berkata fokusnya dan barisan kejurulatihan lain ketika ini adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain.

“Di atas kertas memang lebih baik tapi bila dalam padang itu kita harap semangat berpasukan dapat beri saingan sengit kepada pasukan Liga Super.”

UiTM pada musim hadapan akan beraksi dalam saingan Liga Super selepas Malaysian Football League (MFL) melakukan penstrukturan liga pada musim hadapan dengan menambah jumlah pasukan di Liga Super kepada 18 pasukan dengan saingan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara waktu.