Sepatutnya kami sudah layak ke Piala AFC jika tiada perubahan di saat akhir – Datuk Ong Kim Swee
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak berpuas hati dengan pencapaiannya musim ini kerana masih gagal membawa pasukan ke saingan Piala AFC.
Menurutnya, beliau akan terus mencuba pada saingan Piala Malaysia untuk memastikan kelab itu layak ke kejohanan tersebut.
“Jika tidak kerana slot ke Piala AFC, kami sudah bergembira ketika ini. Sepatutnya kami dah layak sekiranya tidak berlaku perubahan di saat akhir.
Tetapi kita masih lagi belum putus asa kerana kita masih ada lagi Piala Malaysia untuk kita cuba capai matlatmat kami,”
katanya.
Beliau berkata, kelemahan utama pasukannya musim ini adalah squad depth di mana mereka mempunyai masalah sekiranya terdapat pemain utama yang cedera atau digantung.
Menurutnya, perkara itu jelas kelihatan apabila pasukannya bergelut untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi disebabkan ketiadaan beberapa pemain utamanya seperti Park Tae-su dan Jose Embalo.
Kim Swee berkata, pasukannya perlu membawa lebih ramai pemain hebat sebagai persediaan menghadapi musim depan.
“Apa yang paling penting adalah kami perlu konsisten dan perbaiki lagi kelemahan serta beberapa bahagian untuk musim depan.
Sudah tentu apabila saya masuk pasukan ini sedang bergelut tetapi dengan kepercayaan yang diberikan oleh presiden, ketua pegawai eksekutif, pengurus dan pengurusan kami capai apa yang kami mahu.”
Sabah terlepas slot ke Piala AFC selepas tewas 3-0 kepada JDT pada perlawanan terakhir Liga Super sebentar tadi.
Terengganu FC berjaya memintas Sabah untuk berada di tangga kedua liga selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-1.