Pengurusan lambat buat kerja, Terengganu FC berisiko kehilangan jurulatih tempatan terbaik

1,539

Terengganu FC berjaya menempah tiket ke saingan Piala AFC 2023 pada saat-saat akhir selepas memintas Sabah FC untuk berada di tangga kedua Liga Super hasil kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC semalam.

Ini merupakan kejayaan kedua buat pengendali, Nafuzi Zain selepas turut berjaya membawa pasukan itu ke Piala AFC 2021, yang dibatalkan akibat Covid-19.


Walaupun berjaya membawa Terengganu ke kejohanan itu, masa depannya bersama pasukan masih lagi menjadi teka-teki.

Menurut laporan media, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan mengenai sama ada Nafuzi akan kekal atau tidak akan diputuskan paling awal ketika Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada 25 Oktober.

Ketika ini, majoriti penyokong Terengganu boleh dikatakan sedang resah kerana kedudukan jurulatih berasal dari Kelantan itu masih beluk diputuskan.

Mereka memulakan kempen ‘Nafuzi Stay’ di media sosial bagi menekan pihak pengurusan untuk mengekalkan Nafuzi. 

Sekiranya tidak diberikan kontrak baru, ia bukanlah satu kerugian buat Nafuzi kerana banyak lagi pasukan yamg sedang mengikuti perkembangan jurulatih itu untuk membawanya ke dalam pasukan mereka.

Terengganu juga berkemungkinan besar akan kehilangan beberapa bintang seperti Faisal Halim yang berkali-kali menegaskan bahawa masa depannya bersama pasukan itu bergantung kepda status Nafuzi.

Sekiranya situasai itu berlaku, Terengganu sendirilah yang akan rugi kerana terpaksa membina semula pasukan dari bawah.

Mana-mana pasukan yang berjaya membawa Nafuzi sebagai ketua jurulatih pula akan menerima seorang jurulatih muda yang boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih tempatan terbaik ketika ini.

Masa kini sudah semakin suntuk buat pengurusan Terengganu untuk membuat keputusan, dan bagi para penyokong hanya ada satu keputusan yang akan menggembirakan mereka iaitu jika Nafuzi kekal.