Kemalangan maut ketika perlumbaan ‘drag’ di Gong Badak harus jadi pengajaran buat penganjur sukan permotoran tempatan
Satu rakaman video kemalangan dalam satu kejohanan drag race menjadi tular di media sosial memperlihatkan sebuah kereta yang hilang kawalan lalu terbabas.
Ia dilaporkan berlaku dalam perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak.
Mangsa, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala kenderaannya pula remuk teruk.
Di media sosial, ramai pihak yang memberi pandangan bahawa aspek keselamatan ketika kejohanan itu tidak begitu teliti contohnya dari segi penghadang serta peraturan bahagian teknikal kereta yang tidak ketat.
Sebelum ini, Harimau Malaya pernah menemu bual pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya yang berpendapat bahawa peraturan perlumbaan bagi sukan permotoran di negara ini harus dikuatkuasakan dengan lebih baik oleh penganjur.
Beliau yang sudah banyak kali berlumba di luar negara memberi pandagan berdasarkan pengalamannya menyertai kejohanan di dalam dan luar negara.
Dengan kejadian yang berlaku ini, penganjur tempatan harus mengambil pengajaran dalam memastikan segala aspek keselamatan berada di tahap paling maksimum.
Sukan permotoran adalah antara sukan yang paling berbahaya dan boleh meragut nyawa sekelip mata jadi aspek keselamatan adalah perkara yang harus diutamakan.
Kerajaan juga haruslah proaktif dalam memastikan industri sukan permotoran di negara berada di tahap yang tertinggi dalam setiap aspek terutamanya keselamatan.