Malaysia miliki dua winger berkualiti tinggi, persaingan Arif Aiman-Faisal Halim bakal rancakkan Piala Malaysia

1,036

Saingan Liga Super musim ini telah melabuhkan tirai pada 15 Oktober yang lalu selepas memperlihatkan persaingan yang cukup sengit sehingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan kedudukan pasukan.

Selain kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim FC dinobatkan selaku juara buat kali kesembilan, pencapaian Terengganu FC meraih slot ke Piala AFC musim depan turut menjadi tumpuan pada perlawanan terakhir.


Selepas 22 perlawanan berlangsung, terdapat beberapa pemain berjaya mencuri tumpuan peminat dengan aksi menyakinkan yang berjaya dipamerkan oleh mereka sepanjang musim.

Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lepas, Arif Aiman terus membuktikan kehebatannya di bahagian sayap JDT selepas beliau muncul sebagai top provider musim ini dengan catatan 13 bantuan jaringan termasuk tiga penalti yang berjaya didapatkan.

Sejak kebelakangan ini, pemain berusia 20 tahun itu juga dilihat gemar menyerang dan melakukan beberapa percubaan ke arah gawang lawan.

Musim ini, beliau berjaya mencatatkan tiga gol di dalam saingan liga termasuk jaringan menakjubkan menerusi sepakan percuma pada perlawanan terakhir menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Kelincahan Arif di bahagian sayap juga telah membantu penyerang utama JDT, Bergson da Silva muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan rekod terbaru liga, 29 gol.

Bukan sahaja cemerlang di atas padang, malah Arif turut menunjukkan sikap yang baik di luar padang selepas tular video yang menunjukkan gelagat pemain muda tersebut mencium tangan pemain Sabah FC, Amri Yahyah pada perlawanan sebelum ini.

Tidak kurang hebatnya dengan seorang lagi pemain sayap berbisa negara, Faisal Halim yang cemerlang musim ini bersama Terengganu FC.

Kelincahan beliau membolehkan beliau mencatatkan sembilan bantuan jaringan musim ini sepanjang 20 kali diturunkan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Faizal juga membuktikan ketajamannya di hadapan gawang lawan selepas berjaya menjaringkan enam gol musim ini termasuk ketika membantu pasukan Sang Penyu menewaskan bekas kelabnya, Penang FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tidak dapat dinafikan Faisal merupakan antara tonggak utama yang berjaya membawa Terengganu FC untuk berjaya menamatkan saingan musim ini di tangga kedua sekaligus memberi mereka slot ke Piala AFC musim depan.

Namun, wujud khabar angin bertiup kencang yang mengaitkan perpindahan pemain bertubuh kecil itu ke pasukan lain pada musim depan.

Beliau juga seperti memberikan suatu petunjuk menerusi caption yang ditulis olehnya pada hantaran terbaru di akaun Instagram miliknya.

Walau apapun, khidmat Faisal akan terus ditagih oleh peminat untuk melihat perjalanan pasukan kesayangan mereka dalam saingan Piala Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi.

Pasukan Terengganu FC dijadual bertemu jiran mereka, Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada 25 Oktober ini.

Manakala, pasukan JDT akan memulakan saingan Piala Malaysia dengan bertemu PJ City FC di Stadium MBPJ.

Peminat bola sepak tanah air semestinya teruja untuk terus menyaksikan persaingan di antara kedua-dua pemain sayap negara ini dalam membawa pasukan masing-masing mara lebih jauh.

Harap akan ada lebih ramai pemain tempatan berkualiti yang mampu memberi saingan selepas ini!