Tugas berat menanti Victor Andrag untuk mengemudi Kedah Darul Aman FC dalam saingan Piala Malaysia

599

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) telah membuat satu pengumuman mengejutkan ramai lewat pagi tadi apabila memaklumkan bahawa mereka telah melepaskan Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih Sang Kenari.

Susulan itu, pengurusan KDA telah melantik penolong ketua jurulatih Victor Andrag sebagai pengendali interim (sementara) bagi mengharungi kejohanan Piala Malaysia akan membuka tirai pada 25 Oktober ini.


Pihak KDA mengambil keputusan untuk melepaskan pengendali dari Singapura itu selepas prestasi hambar yang dipamerkan pasukan Hijau Kuning itu sepanjang kempen saingan Liga Super dan juga Piala FA.

Walaupun bergelar naib juara Liga Super 2020 dan 2021, namun KDA gagal memperbaiki kejayaan musim lalu apabila sekadar menduduki tangga ke lapan liga termasuk tersingkir awal dari Piala FA.

Dengan keputusan drastik oleh pengurusan KDA ketika pasukan mempunyai tempoh seminggu untuk membuat persiapan Piala Malaysia, Victor berdepan tugas sukar untuk membuat percaturan pasukan termasuk menaikkan semula moral pemain untuk menghadapi saingan piala berprestij itu.

KDA bakal bertemu dengan pasukan yang berada di tangga keempat liga iaitu Negeri Sembilan FC dalam perlawanan pusingan 16 yang akan berlangsung secara timbal balik.

Sedikit latar belakang mengenai pengendali berusia 46 tahun ini. Victor merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang beraksi bersama di bumi Jelapang Padi sejak tahun 2001.

Beliau memulakan karier profesionalnya bersama kelab Kedah Ansell FC sebelum berhijrah ke Kedah FA pada tahun 2002.

Victor terus setia di Darul Aman sehingga tahun 2010 sebelum mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain profesional.

Sepanjang kariernya bersama Kedah sebagai pemain pertahanan, beliau telah membuat sebanyak 130 penampilan dan berjaya menjaringkan tujuh gol, termasuk pernah menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak dua kali.

Selepas bersara, beliau menyertai Penang FA sebagai penolong jurulatih selama semusim sebelum kembali ke Kedah sebagai jurulatih remaja pasukan negeri itu.

Pada tahun 2019 beliau telah dinaikkan ke skuad utama sebagai penolong ketua jurulatih kepada Aidil Sharin yang ketika itu baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih.

Untuk rekod, beliau merupakan pemain yang pernah merangkul kesemua kejuaraan yang dipertandingkan di Liga Malaysia bersama Kedah.

Antaranya trofi Liga Super pada tahun 2007 & 2008; Liga Perdana pada tahun 2002 & 2006; Piala FA pada 2007 & 2008; Piala Malaysia pada 2007 & 2008.

Beliau juga merupakan tonggak utama pasukan itu ketika Kedah mencipta sejarah merangkul gelaran double treble ketika dibawah kendalian Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, ketika bersama Aidil sejak 2019 sebagai penolong ketua jurulatih, beliau telah berjaya membantu gergasi utara itu merangkul pelbagai kejayaan termasuk juara Piala FA 2019, naib juara Liga Super dua musim berturut-turut, layak ke perlawanan play-off AFC Champions League (ACL) tiga tahun berturut-turut dan layak ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN dalam saingan Piala AFC 2022.

Persoalan yang kini berlegar-legar dalam kalangan peminat KDA adalah mampukah Victor menggalas tugas sebagai ketua jurulatih interim dengan baik? Sama-sama kita tunggu dan lihat pada perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 25 Oktober ini.