Endrick dos Santos beri ‘hint’ musim terakhir di Penang FC, bakal perkuat JDT musim depan?

6,581

Bintang Penang FC, Endrick dos Santos seperti memberikan hint kepada peminat mengenai masa depannya bersama kelab tersebut menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya baru-baru ini.

Perkara tersebut dilakukan oleh Endrick sebelum perlawanan terakhir liga menentang Selangor FC berlangsung pad 15 Oktober yang lalu.


“Waktu jatuh dan bangkit bersama Penang, perlawanan liga terakhir sebagai Harimau Kumbang.”

katanya.

Kenyataan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat Penang FC yang semestinya mengharapkan agar pemain tersebut dapat terus kekal menabur bakti kepada kelab.

Pemilihan destinasi seterusnya buat pemain ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak tanah air.

Terdahulu, beliau pernah dikaitkan untuk bersama dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim FC pada tahun 2020 namun perpindahan tersebut tidak berlaku kerana kelab tersebut ingin membawa masuk pemain naturalisasi.

Tetapi tidak mustahil selepas ini nama beliau akan kembali dipantau oleh pengurusan Harimau Selatan tatkala Endrick sudah hampir mencapai syarat minimum lima tahun untuk menjadi seorang pemain naturalisasi.

Ini kerana 2023 akan menjadi tahun kelima beliau beraksi di Malaysia selepas dibawa masuk oleh Felcra FC pada tahun 2018.  

Tambahan pula, perkara ini pernah dinyatakan sendiri oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi kenyataannya yang dikeluarkan oleh Johor Southern Tigers (JST) sebelum ini.

Johor Southern Tigers

Pada masa yang sama, mereka juga mengharapkan agar penyerahan tugas ketua jurulatih kepada Manzoor Azwira bagi saingan Piala Malaysia tahun ini diharap dapat ‘memujuk’ pemain tersebut untuk terus berada di Penang FC sekurang-kurangnya untuk satu lagi musim.

Manzoor berjaya membantu pasukan Penang FC untuk mengikat skuad Gergasi Merah 1-1 pada perlawanan terakhir Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya.

Endrick mula bersama Penang FC pada Mac 2020 selepas beliau dilepaskan oleh bekas pasukannya, Selangor FC pada penghujung 2019.

Pemain kelahiran Brazil ini melalui musim yang cemerlang sewaktu mula menyertai Penang FC musim lepas dengan mencatatkan 11 bantuan jaringan serta empat gol daripada 18 perlawanan yang diturunkan.

Aksi cemerlang tersebut menjadikan beliau antara pemain utama pasukan serta sering diberi tanggungjawab selaku ketua pasukan.

Namun segalanya tampak berubah musim ini selepas aksi beliau dilihat sedikit merudum dengan hanya tiga bantuan jaringan dan satu gol daripada 14 perlawanan keseluruhan.

Statistik yang agak rendah daripada seorang pemain import berpengalaman seperti beliau yang pernah beraksi di saingan Eropah seperti Liga Romania sewaktu bersama FC Botosani pada tahun 2017.

Kecederaan mungkin menjadi antara penyebab utama kemerosotan prestasi yang dialami oleh pemain tersebut.

Lebih malang, kecederaan yang dialaminya pada pertengahan musim menyebabkan khidmat beliau tidak dapat digunakan oleh pasukan sewaktu aksi hidup mati bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim FC di saingan separuh akhir Piala FA tahun ini.

Namun, khidmat cemerlang Endrick selama beberapa musim ini semestinya akan dikenang baik oleh para peminat skuad Harimau Kumbang.

Semoga kita dapat terus menyaksikan kelincahan Endrick selepas ini di dalam saingan Liga Super meskipun tidak lagi bersama Penang FC.