Bekas jurulatih Singapura bawa kelab Divisyen 2 Jepun layak ke saingan AFC Champions League musim depan

941

Tatsuma Yoshida merupakan ketua jurulatih pasukan Divisyen 2 Jepun, Ventforet Kofu yang telah berjaya melakukan kejutan untuk bergelar juara baru saingan Piala Maharaja Jepun tahun ini.

Kelab ini melalui perjalanan menakjubkan selepas mereka berjaya mengatasi beberapa gergasi dari liga utama seperti Hokkaido Consadole Sapporo, Sagan Tosun dan paling menarik mereka berjaya melakukan kejutan ke atas pasukan Kashima Antlers di pusingan separuh akhir.


Di perlawanan akhir, mereka turut berjaya melakukan satu lagi kejutan selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Sanfrecce Hiroshima.

Keputusan itu mengejutkan kebanyakan peminat bola sepak Jepun tatkala Sanfrecce Hiroshima kini berada di tangga ketiga Liga 1 Jepun, hanya dibezakan lapan mata dari pendahulu Yokohama F Marinos.

Penyerang pasukan berusia 34 tahun, Kazushi Mitsuhira muncul penjaring terbanyak kejohanan bersama pemain Fukushima United FC, Junya Takahashi berkongsi empat jaringan.

Kejayaan ini jelas membuktikan kewibawaan Yoshida selaku salah seorang jurulatih muda berkualiti yang turut memiliki pengalaman luas.

Reputasi Yoshida cukup terbukti di dalam saingan liga domestik selepas beliau sebelum ini pernah mengendalikan pasukan seperti Kashiwa Reysol dan Albirex Niigata.

Terdahulu, Yoshida pernah berkhidmat selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura bermula pada tahun 2019 sehingga penghujung 2021.

Beliau berjaya membawa pasukan Singapura mara sehingga ke perlawanan separuh akhir Piala AFF 2021 sebelum ditewaskan oleh skuad Indonesia dengan keputusan agregat 5-3.

Beberapa hari selepas tamat saingan Piala AFF 2021, Yoshida telah mengambil keputusan untuk mengundurkan dari skuad kebangsaan Singapura dan pulang ke Jepun atas alasan untuk berada lebih dekat dengan keluarganya.

Sepanjang memegang jawatan tersebut, Yoshida memiliki 68.42% peratusan kemenangan, sebuah statistik yang cukup tinggi untuk diraih bagi seseorang jurulatih muda.

Kehebatan Yoshida pernah membantu pasukan Singapura untuk menewaskan lawan dari rantau Asia Barat seperti Palestin dan Yaman.

Kini, beliau terus cemerlang dengan membawa pasukan bimbingannya melakukan kejutan demi kejutan pada saingan kejohanan paling berprestij di Jepun.

Kejayaan ini juga mencipta sejarah buat Kofu selepas menjadi kelab dari Divisyen 2 Jepun pertama layak secara merit ke peringkat kumpulan pada saingan AFC Champions League (ACL) musim depan.

Perkara ini nyata mengubat kedukaan peminat pasukan tersebut selepas mereka melalui saingan liga yang kurang memberansangkan musim ini.

Daripada 22 pasukan bertanding di Liga 2 Jepun, Kofu kini berada di tangga ke-18 liga selepas hanya berjaya mencatatkan sembilan kemenangan daripada 40 perlawanan setakat ini.

Meskipun bakal beraksi di saingan ACL musim depan selaku pasukan underdog, tidak mustahil Kofu dapat lakukan kejutan sebagaimana yang mereka lakukan musim ini di Piala Maharaja Jepun.

Kejayaan juara Piala Maharaja Jepun edisi lalu, Urawa Red Diamonds mara ke perlawanan akhir ACL musim ini mampu menjadi motivasi buat Yoshida dan anak buahnya.