Sunday Afolabi bakal jadi tonggak utama Perak FC pada musim depan

3,612

Perak FC kini sedang dalam ‘pembinaan’ semula selepas pasukan itu diambil alih oleh jurulatih berpengalaman luas Lim Teong Kim bagi mengharungi saingan Liga Super pada musim depan.

Sejak dilantik pada pertengahan bulan September lalu, Teong Kim tidak menunggu lama untuk membuat perubahan dalam pasukan itu apabila beliau dengan jelas berkata fokusnya adalah mahu mengetengahkan pemain muda.


Ia sudah pun dapat dilihat dalam perlawanan persahabatan pertama apabila beliau menurunkan ramai pemain muda ketika mereka tewas 2-0 di tangan PIB FC.

Sumber foto: Perak FC

Bagaimanapun ketika perlawanan persahabatan kedua menentang Kelantan United FC, anak buah Teong Kim mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menang 1-0.

Dalam perlawanan persahabatan kedua baru-baru ini menyaksikan pemain import dari Nigeria, Sunday Afolabi telah diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan.

Afolabi yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua telah mempamerkan aksi yang cukup baik dan telah berjaya memikat hati pengurusan pasukan untuk menyambung kontraknya selama dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan Afolabi pernah terlibat dalam satu insiden ketika perlawanan Liga Perdana menentang Kelantan FC sebelum ini, namun aksi baik dan komitmen tinggi yang dipamerkan beliau menjadi tunjang utama buat skuad The Bos Gaurus itu.

Afolabi sendiri mengakui gembira apabila dapat kekal di Ipoh, Perak lagi dua musim dan akan terus mempamerkan aksi terbaik bagi membantu Perak kembali menjadi pasukan yang digeruni di saingan liga tempatan.

Sumber foto: Perak FC

Dengan beberapa pemain yang sudah sah akan kekal bersama pasukan itu, peminat kini juga ternanti-nanti pemain lain yang akan dibawa masuk oleh Perak bagi melengkapkan pasukan sebelum saingan liga bermula.

Bukan sahaja peminat Perak, malah peminat bola sepak lain turut tidak sabar untuk melihat kebangkitan semula pasukan itu selepas berdepan kemelut yang hampir menguburkan pasukan itu dari saingan Liga Malaysia.

Jadi sama-sama kita nantikan Perak berwajah baru pada musim depan dan diharap dengan kembalinya mereka di Liga Super akan menjadikan saingan liga lebih kompetitif dan menarik.