Khuzaimi Piee tekad kekal bersedia untuk sahut tugas Harimau Malaya, fokus ke Piala Malaysia terlebih dahulu

217

Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee bertekad untuk terus berada di dalam keadaan terbaik beliau menjelang dua kejohanan besar yang bakal disertai oleh skuad kebangsaan.

Cabaran terdekat pasukan Harimau Malaya adalah sewaktu kejohanan Piala AFF 2022 yang bakal bermula Disember ini.


Khidmat Khuzaimi semestinya terus ditagih oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon tatkala mereka diundi di dalam kumpulan yang agak sengit bersama pasukan seperti Vietnam dan Singapura.

“Saya akan tetap bersama dengan barisan kejurulatihan Negeri Sembilan untuk siapa yang kekal bersama pasukan musim depan.

Bagi saya, tak kira siapa yang akan bermain, kami akan tetap bersedia walaupun diberi tanggungjawab bermain atau di dalam padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Khuzaimi akan terus memberikan fokus beliau untuk membawa pasukannya mara lebih jauh di dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Terdahulu, pemain berusia 29 tahun yang telah mempamerkan aksi menyakinkan sepanjang musim tersebut telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan lain pada musim depan.

“Saya akan cuba beri yang terbaik dengan Negeri Sembilan terlebih dahulu, ramai tahu kontrak saya akan berakhir pada penghujung bulan November ini.

Bab-bab yang itu saya tidak fikir dulu dan akan cuba fokus kepada Piala Malaysia yang akan datang dan baru berfikir tentang masa depan.”

Walau bagaimanapun, Khuzaimi tidak ingin mengulas lanjut tentang perkara tersebut bagi menghormati proses perbincangan bersama pihak pengurusan pasukan Negeri Sembilan FC yang masih berjalan.

“Buat masa ini, saya tidak berfikir apa-apa lagi dan masih bersama Negeri Sembilan.

Saya masih berbincang dengan Negeri Sembilan sehingga saya menghabiskan kontrak saya.”

Dalam pada itu, Khuzaimi nyata gembira dan berbangga dengan kejayaan pasukan Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat selepas berjaya mengumpul 41 mata daripada 22 perlawanan kesuluruhan.

Beliau merupakan salah seorang pemain utama yang sering dipilih oleh ketua jurulatih, K Devan untuk memperkuatkan barisan pertahanan Negeri Sembilan FC.

“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian Negeri Sembilan FC di Liga Super, kita berakhir di kedudukan keempat.

Sasaran sebenar kita adalah kekal dalam liga, tetapi rezeki untuk kami dapat kedudukan keempat dan hanya berbeza tiga mata dengan pasukan kedua.”

Namun, pencapaian ini tidak menjadikan Khuzaimi selesa dan terlalu yakin untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.

Mereka dijadual bertemu dengan pasukan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan peringkat 16 terbaik.

Perlawanan pertama yang bakal berlangsung pada 25 Oktober ini di Stadium Darul Aman akan menjadi ujian pertama yang perlu dihadapi oleh skuad Jang pada saingan Piala Malaysia tahun ini.

Berdasarkan rekod liga musim ini, Negeri Sembilan FC dilihat memiliki kelebihan selepas mereka berjaya mencatatkan satu kemenangan dan satu seri ketika bertemu sebelum ini.

“Piala Malaysia adalah sebuah kelainan untuk semua pasukan yang akan bertanding.

Kita tahu Piala Malaysia adalah sebuah piala yang dinanti-nantikan, semua pasukan di Piala Malaysia akan berikan yang terbaik dan kami akan cuba beri terbaik untuk bawa Negeri Sembilan ke tahap yang lebih baik.”