Akram Mahinan tak bimbang langsung dengan fizikal pemain Al-Seeb
Pemain tengah KL City FC, Akram Mahinan tidak melihat perbezaan fizikal akan menjadi penentu keputusan perlawanan akhir Piala AFC 2022 menentang Al-Seeb pada 22 Oktober ini.
Menurut Akram, walaupun pemain pasukan dari Oman itu mempunyai fizikal yang lebih besar namun beliau dan rakan sepasukan tidak bimbang dengan perkara itu kerana mereka sudah buktikan kemampuan mereka dalam perlawanan separuh akhir Antara Zon dan perlawanan akhir Antara Zon menentang kelab dari India; ATK Mohun Bagan dan Uzbekistan; FC Sogdiana Jizzakh.
“Sebelum ini ketika kita menentang kelab dari India dan Uzbekistan mereka juga mempunyai fizikal yang besar-besar, jadi saya tidak merasakan perbezaan fizikal menjadi cabaran buat kami kerana dengan bola sepak moden ketika ini fizikal tidak memainkan peranan yang besar sangat.
Apa yang paling penting adalah taktikal jurulatih dan pemain sendiri yang perlu fokus sepanjang 90 minit permainan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pemain berusia 29 tahun itu berkata persiapan pasukan sejak beberapa lagi ini mereka telah memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan yang dilakukan dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.
Beliau pada masa sama turut meluahkan sedikit kekecewaan apabila tidak dapat beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk perlawanan akhir sebaliknya terpaksa beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atas sebab kriteria yang ditetapkan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).
Antara faktor utama SNBJ dipilih sebagai venue perlawanan akhir kerana AFC akan menggunakan teknologi VAR (video assistant referee).
Walaupun kecewa, beliau dan rakan sepasukan tidak akan berada kekok apabila beraksi di SNBJ nanti kerana sudah mempunyai pengalaman bermain di perlawanan akhir pada musim lalu ketika mereka menjulang trofi Piala Malaysia.
Sementara itu, beliau turut menyeru peminat bola sepak tanah air untuk turun ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan KL City pada perlawanan akhir Piala AFC nanti.
“Saya harap peminat KL City dan juga peminat bola sepak tempatan lain untuk turun penuhkan stadium Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada kami yang mencipta sejarah pertama kali layak ke perlawanan akhir.
Mungkin selepas ini sukar untuk kami mengulangi kejayaan ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk turun beri sokongan pada kami.”