Biar jasa jadi kenangan, Aidil Sharin layak terima ‘farewell’ yang lebih baik
Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin menerima pelbagai reaksi negatif hasil daripada kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh beliau dan pasukan pada lima perlawanan terakhir Liga Super.
Situasi ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peminat setia skuad Hijau Kuning sehingga ada yang mengecam pengendali kelahiran Singapura tersebut.
Baru-baru ini, Aidil dilihat membalas komen berbaur negatif yang dilontarkan oleh peminat dengan berkongsi sedikit cabaran yang perlu dihadapi olehnya sewaktu memegang jawatan selaku ketua jurulatih.
Menurut apa yang dikongsi, jelas sekali Aidil secara rela hati berkorban demi pasukan yang dibimbing meskipun ia memberi kesan yang besar kepada beliau dan keluarganya.
Selain komen tersebut, wujud beberapa komen negatif yang turut mempersoalkan kredibiliti Aidil selaku seorang jurulatih.
Walhal, Aidil telah cuba berikan yang terbaik sepanjang empat tahun khidmatnya bersama pasukan Kedah sejak mula menyertai pada tahun 2018.
Sepanjang mengendali pasukan ini, Aidil telah membawa skuad Kedah layak beraksi di kejohanan Piala AFC sebanyak dua kali.
Pada tahun 2020, Kedah berjaya melepasi pusingan kedua saringan AFC Champions League sebelum terkandas di pusingan play-off selepas tewas di tangan FC Seoul, 1-4.
Tahun ini, beliau berjaya membantu pasukan ini layak sehingga ke peringkat separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN sebelum tewas di tangan wakil Indonesia, PSM Makassar.
Kejayaan tertingginya adalah sewaktu menjulang pasukan ini sebagai juara Piala FA pada tahun 2019 selepas menewaskan pasukan Perak FC di pentas akhir sebelum menjadi naib juara Liga Super dua tahun berturut-turut pada tahun 2020 dan 2021.
Kehadiran beliau sedikit sebanyak menjulang kembali pasukan ini berada di mencpai tahap yang lebih baik selepas gagal berbuat demikian untuk beberapa musim selepas pemergian bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Bakti seperti inilah yang seharusnya dikenang oleh para peminat Hijau Kuning meskipun prestasi Aidil dan pasukan merudum teruk musim ini.
Kini, Kedah perlu mencari seorang jurulatih yang mampu menggalas cabaran dan mencapai tahap yang jauh lebih baik dari yang pernah dicapai oleh Aidil.
Pengganti tersebut juga perlu segera menyesuaikan diri dengan para pemain bagi membolehkan mereka tidak berhadapan dengan masalah besar pada saingan Liga Super musim depan untuk menebus semula kehampaan musim ini.
Dalam pada itu, ada aura-ura yang mengaitkan perpindahan Aidil ke pasukan Penang FC selepas tular sebuah gambar yang menunjukkan kehadirannya di Pejabat Ketua Menteri dan EXCO Pulau Pinang baru-baru ini.
Tidak mustahil perkara ini boleh berlaku kerana Penang FC telah merehatkan ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan untuk memberikan laluan kepada pengendali sementara, Manzoor Azwira.
Dengan kualiti dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Aidil, mana-mana pasukan yang mendapatkan beliau akan memperoleh kelebihan yang dapat dimanfaatkan untuk membawa pasukan lebih jauh.