Malaysia sudah tiada dalam senarai kelab gergasi dunia adakan ‘tour’ walaupun antara kuasa besar di ASEAN
Pasukan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund akan menguji barisan pemain Vietnam dalam satu perlawanan persahabatan pada 30 November ini dalam siri jelajah pasukan itu di Asia Tenggara.
Selain itu, Dortmund juga turut akan berkunjung ke dua lagi negara iaitu Indonesia dan juga Singapura.
Ini adalah satu penghargaan yang tinggi bagi peminat-peminat pasukan itu untuk bertemu idola mereka secara berhadapan.
Bukan itu saja, ia juga satu platform buat para pemain menguji skil dan kehebatan mereka menentang pemain-pemain terkemuka.
Sudah lama rasanya Malaysia tidak menerima kunjungan daripada kelab-kelab gergasi dunia seperti satu ketika dahulu.
Kali terakhir adalah ketika kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool datang ke negara ini untuk perlawanan persahabatan menentang Malaysia XI pada 2015.
Berbeza dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand yang menjadi pilihan Manchester United dan Liverpool mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Rajamangala ketika pramusim.
Singapura juga turut menjadi pilihan Liverpool mengadakan perlawanan persahabatan dengan Crystal Palace selepas itu.
Mungkin ada sebab tertentu yang membuatkan kelab-kelab besar tidak lagi menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi tour mereka walaupun merupakan salah satu kuasa besar dalam bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Tetapi dengan kehebatan yang ditunjukkan kelab tempatan di saingan peringkat antarabangsa serta peningkatan prestasi skuad kebangsaan, Malaysia mungkin bakal membuka semula mata kelab-kelab besar selepas ini.
Pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mungkin boleh memainkan peranan dalam menjemput kelab-kelab besar untuk menagadakan persahabatan di negara ini.
Ia adalah satu perkara yang baik buat ekonomi negara, serta meningkatkan lagi nama Malaysia sebagai salah satu nama besar dalam sukan bola sepak di rantau ini.