Fairuz Montana anggap mendiang P. Rajes jelmaan K Sanbagamaran, pernah suarakan keinginan sertai Kelana United

643

Bekas pemain Selangor FC, Fairuz Montana mengakui kesungguhan yang dimiliki oleh bekas pemain PJ City FC, mendiang P. Rajes.

Fairuz yang pernah beraksi buat pasukan Selangor FC menganggap aksi mendiang Rajes ibarat jelmaan legenda Selangor FC sekitar tahun 1993 sehingga 2000, K Sanbagamaran.


“Budak-budak muda perlu contohi karakter beliau, setiap latihan tidak pernah mengeluh.

Saya berani kata, karakter mendiang sama dengan K. Sanbagamaran,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga akui terkilan dan terkejut dengan berita pemergian mendiang yang diterima olehnya pada awal pagi.

Fairuz diberitahu tentang perkara tersebut oleh bekas pemain PJ City FC, Christie Jayaselan yang juga merupakan salah seorang sahabat karibnya.

“Rajes adalah salah seorang pemain berketurunan India yang saya rapat selain Christie Jayaseelan dan kami menyokong pasukan EPL yang sama.

Saya terkejut juga dengan pemergian mendiang kerana beliau seorang yang sangat baik bukan sahaja di dalam padang.”

Fairuz dan mendiang Rajes memiliki hubungan yang akrab sewaktu beraksi bersama sebelum ini,

Mereka pernah bergandingan sewaktu kedua-duanya beraksi buat pasukan Selangor PKNS FC suatu ketika dahulu.

Lebih menyedihkan, mendiang Rajes baru sahaja berinteraksi dengan beliau untuk memberitahu tentang hasratnya menyertai pasukan liga sosial yang dibimbing oleh Fairuz, Kelana United pada musim hadapan.

“Apa yang lagi saya sedih, dia ada menghantar mesej di dalam Whatsapp tentang keinginan untuk sertai Kelana United tahun depan.

Itu yang buat saya terharu dan saya terkilan sebab dia pergi dulu, tidak tercapai hasrat saya untuk mendapatkan khidmat beliau.”

Ternyata, pemergian Rajes memberi impak yang cukup besar kepada semua orang terutama sekali pemain-pemain yang pernah beraksi bersamanya.

Kualiti, sikap serta kesungguhan yang dimiliki oleh beliau akan terus dikenang selama-lamanya oleh semua peminat bola sepak Malaysia.