Kelana United tidak harapkan sepenuhnya kepada pemain berpengalaman, anggap SCL ibarat Piala Malaysia
Ketua jurulatih Kelana United FC, Fairuz Montana gembira dengan kualiti pemain muda yang dimiliki olehnya bagi menghadapi saingan Selangor Champions League (SCL) musim ini.
Beliau juga berharap agar para pemerhati di luar sana tidak menganggap Kelana United sebagai pasukan bintang hanya kerana memiliki beberapa nama besar yang pernah beraksi di Liga Super.
“Ada separuh peminat atau netizen yang menganggap Kelana United mengharapkan pemain berpengalaman 100% tapi mereka tidak tahu bahawa pasukan kami seimbang.
Majoriti daripada pemain kami adalah di bawah 25 tahun tetapi ramai yang tidak tahu perkara tersebut,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selepas kemasukan beberapa pemain seperti Razman Roslan dan Asrarudin Putra Omar, mereka baru sahaja mengumumkan penyertaan legenda bola sepak negara Shukor Adan serta bekas penyerang skuad Harimau Malaya, Fakri Saarani untuk memperkuat saingan SCL musim ini.
“Ahmad Fakri sudah menyertai Kelana United sebelum beliau mewakili BRM FC lagi, dia telah membantu kami memenangi Subang League sebelum ini untuk bantu kami layak ke SCL.
Saya berterima kasih kerana abang Shukor Adan terus terima pelawaan saya hanya dengan satu kali tawaran walaupun kita tahu beliau adalah seorang pemain legenda yang pernah memenangi pelbagai kejuaraan.”
Pada masa yang sama, Fairuz juga akui menghadapi tekanan tatkala mengendalikan pasukan Kelana United.
Hal ini disebabkan oleh tanggungjawab serta harapan yang diletakkan bukan sahaja oleh pihak pengurusan malah peminat-peminat setia Kelana United sendiri.
“Sejujurnya memang tertekan kerana saya membawa masuk pemain bintang dan semua pasukan lawan sentiasa memberi aksi all-out.
Itu antara tekanan yang kami hadapi tapi kami kena buktikan kami yang terbaik, kami kena kerja keras untuk menyakinkan orang luar tentang kekuatan Kelana United di dalam SCL.”
Dalam pada itu, beliau juga melihat sasaran untuk menjadi juara SCL musim ini bukanlah suatu yang mustahil.
Gandingan dan persefahaman di antara pemain berpengalaman dan muda ini akan membantu pasukan Kelana United melakukan sesuatu kali ini.
“Juara, lain tidak bukan kerana SCL ini ibarat Piala Malaysia.
Tak lengkaplah sesebuah pasukan tanpa piala tersebut dan untuk saya, kami akan kerja kerja keras dan saling membantu untuk jadi juara.”
Selepas dua perlawanan awal SCL, pasukan Kelana United berjaya mencatatkan mencapai keputusan satu kemenangan dan satu seri.
Mereka mempunyai baki lima perlawanan yang perlu dihadapi bagi memastikan mereka melangkah jauh di dalam saingan musim ini.
Namun, Fairuz sedar perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah tatkala kesemua pasukan yang bertanding bagi musim ini memiliki kekuatan mereka tersendiri.
“Sejujurnya, ini adalah SCL yang paling terbaik kerana semua pasukan kuat dan kita tidak boleh menganggap bahawa Kelana United ini akan menjadi pilihan untuk menjadi juara.
Semua pasukan kali ini adalah yang terbaik.”