Fairuz Montana tidak sabar untuk lihat pencapaian Teong Kim, akui keberanian beliau gunakan pemain muda

937

Bekas pemain Selangor FC, Fairuz Montana tidak dapat menyembunyikan keterujaan beliau untuk melihat pencapaian bekas jurulatihnya, Lim Teong Kim bersama pasukan Perak FC.

Beliau percaya jurulatih berusia 59 tahun tersebut miliki keupayaan untuk memanfaatkan kudrat pemain muda bagi memperkuatkan pasukan.


“Kita tengok Perak FC, sebab Teong Kim daripada AMD, setahu saya sepanjang berada di bawah dia, beliau sangat berani menggunakan pemain-pemain muda.

Saya pernah bekerja dengan dia cuma saya risau samada pemain muda itu sendiri dapat mengikuti corak latihan beliau,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga meletakkan impian yang besar supaya ada perubahan besar yang dapat dicapai oleh bekas pasukannya di dalam saingan Piala Malaysia.

Fairuz percaya dengan kemasukan jurulatih baru, Tan Cheng Hoe mampu mengubah keadaan semasa pasukan tersebut yang sebelum ini kurang menyerlah di saingan Liga Super dan Piala FA.

“Selangor semestinya menjadi pilihan setiap kali Piala Malaysia berlangsung, lagipun kali ini adalah kalah mati.

Saya rasa Coach Tan Cheng Hoe tidak akan hadapi masalah untuk uruskan pasukan Selangor kerana beliau sudah mengetahui budaya pemain-pemain di Malaysia dan ini akan menjadi kelebihan buat pasukan.”

Sebagai seorang bekas pemain, besar harapan beliau untuk melihat pasukan kesayangannya dapat melakukan kejutan untuk kembali mendakap Piala Malaysia setelah lama gagal berbuat demikian.

“Tapi kita tahu, Coach Tan Cheng Hoe berjaya capai keputusan yang baik walaupun masuk dengan pemain sedia ada dan bukan pemain yang dipilih.

Jadi saya rasa dia boleh buat, mungkin akan ada sesuatu yang mengejutkan dan harap Piala Malaysia jadi pentas untuk Selangor comeback.”

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar lebih banyak peluang dapat diberikan kepada pemain muda yang dimiliki oleh Selangor FC buat masa ini.

Fairuz melihat ia sebagai sebuah perkara yang baik bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu menyerlah di masa hadapan.

“Untuk saya perlu kekalkan pemain muda sebab modern football sekarang laju, baik kekalkan pemain muda yang berkualiti.

Pace game sekarang laju tetapi ia memerlukan acuan dari jurulatih.”