Vietnam mungkin lantik Phillipe Troussier sebagai ketua jurulatih baru

3,493

Peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara ternanti-nanti siapakah ketua jurulatih baru untuk pasukan kebangsaan Vietnam selepas Park Hang-seo mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal daripada sepatutnya.

Berita tersebut nyata mengejutkan ramai dan kini mula timbul pelbagai spekulasi kemana destinasi beliau selepas ini.


Tidak dapat dinafikan pengendali dari Korea Selatan itu merupakan antara jurulatih hebat apabila berjaya membantu menaikkan kualiti bola sepak Vietnam dengan mengecapi pelbagai kejayaan termasuk menjadikan pasukan itu gergasi Asia Tenggara mengenepikan Thailand.

Sejak berita Hang-seo menamatkan kontraknya, ramai yang membuat spekulasi bahawa ketua jurulatih Indonesia iaitu Shin Tae-yong akan mengambil alih tugas beliau berikutan Tae-yong akan meletak jawatan sekiranya Ketua PSSI (Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia) Mochamad Iriawan atau Iwan Bule meletak jawatan.

Bagaimanapun spekulasi itu ditepis oleh media di Vietnam apabila mereka melaporkan bahawa pengganti Hang-seo bukanlah Tae-yong, sebaliknya Phillipe Troussier dari Perancis.

Troussier adalah seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman cukup luas sebagai pengendali pasukan kebangsaan seperti Afrika Selatan, Nigeria, Ivory Coast, Burkina Faso, Qatar, Jepun dan beberapa lagi.

Pengendali berusia 67 tahun itu juga pernah mengendali pasukan Vietnam B-19 dari tahun 2019 hingga 2021, jadi beliau sudah memahami budaya dan permainan bola sepak di negara itu.

Untuk rekod, Troussier pernah berjaya membawa Jepun untuk menjadi naib johan dalam kejohanan FIFA Confederations Cup pada tahun 2001 dan juara Piala Asia 2000.

Kejayaannya bersama skuad kebangsaan Matahari Terbit itu menyaksikan beliau telah menerima anugerah AFC Coach of the Year dan Japan Football Hall of Fame pada 2020.