DOKS gembira MFL maklumkan awal ‘away goal rule’ mansuh, jadikan pembakar semangat julang Piala Malaysia

327

Pada hari terakhir Liga Super minggu lalu, Sabah FC terpaksa akur gagal layak ke saingan Piala AFC melalui slot tempat kedua selepas tumpas di tangan Johor Darul Ta’zim, yang dirampas oleh Terengganu FC, walaupun menghuni kedudukan itu sejak sekian lama.

Individu yang paling kecewa dengan perkara itu mungkin adalah ketua jurulatih mereka, Datuk Ong Kim Swee yang meluahkan ketidakpuasan hatinya atas pengumuman yang dikatakan pada saat-saat akhir oleh pihak Malaysian Football League (MFL) berkenaan slot ke Piala AFC.


Beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan terakhir liga, MFL mengeluarkan satu kenyataan bahawa hanya pasukan di tempat kedua liga yang akan layak ke kejohanan Piala AFC diiringi oleh pemenang Piala Malaysia, dan menurutnya ia telah dimaklumkan kepada pasukan pada Januari lalu.

Berdasarkan luahan Kim Swee pada sidang media selepas kekalahan kepada JDT, beliau nampak begitu tidak berpuas hati dengan perkara itu seperti tidak tahu-menahu langsung mengenai pengumuman awal itu.

Baru-baru ini pula, beliau ada mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada pihak MFL kerana memaklumkan lebih awal mengenai pemansuhan peraturan gol tempat lawan sebelum saingan Piala Malaysia bermula.

Walaupun ia kedengaran agak sarkastik, peluang ini harus dijadikan pembakar semangat untuk skuad Sabah menebus kembali kehampaan dipintas saat-saat akhir oleh Terengganu untuk slot Piala AFC.

Memandangkan Kim Swee sendiri mengakui pemansuhan peraturan gol tempat lawan adalah sesuatu yang positif, beliau boleh merangka strategi untuk memastikan Sabah tidak terlepas slot ke Piala AFC sekali lagi melalui saingan Piala Malaysia.

Sabah akan bertemu UiTM FC pada perlawanan pertama dan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Sabah juga boleh membalas dendam kembali kepada pasukan JDT yang menafikan slot ke Piala AFC mereka pada perlawanan terakhir liga sekiranya kedua-dua pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Mungkin ada kekeliruan yang berlaku mengenai pengumuman slot ke Piala AFC sehingga menyebabkan Kim Swee hanya mengetahuinya pada saat-saat akhir, namun kedudukan liga sudah pun muktamad dan ia harus dijadikan pengajaran oleh semua pihak untuk memastikan komunikasi lebih baik.

Berdasarkan prestasi mereka dalam liga, Sabah juga adalah antara pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia, justeru perjuangan belum tamat buat mereka dan peluang untuk ke Asia masih terbuka.