Malaysia hantar ‘wakil’ beraksi di Piala Dunia Qatar 2022

2,783

Sebulan lagi tempoh menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia, Piala Dunia bakal membuka tirainya di pada edisi kali ini di Doha, Qatar.

Ketika ini, pihak penganjur pastinya sedang melakukan persiapan terakhir bagi memastikan kejohanan empat tahun sekali itu berlangsung dengan lancar.


Antara aspek yang harus diberi perhatian pastinya keselamatan sepanjang kejohanan itu berlangsung, lebih-lebih lagi selepas dunia dikejutkan dengan insiden di Stadium Kanjuruhan, Indonesia baru-baru ini.

Malaysia, walaupun tidak layak untuk menyertai kejohanan itu, masih boleh berbangga kerana mempunyai ‘wakil’ yang akan ‘beraksi’ sepanjang kejohanan itu.

Ini kerana, Piala Dunia 2022 akan menggunakan peralatan pengesanan sinaran yang dibekalkan oleh Malaysia bagi memastikan keselamatan dan sekuriti nuklear global sepanjang kira-kira sebulan kejohanan itu berlangsung.

Menurut MOSTI, alatan itu juga turut digunakan sebelum ini dalam acara sukan besar lain seperti Sukan SEA, Sukan PARA ASEAN dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Kerjasama itu dilakukan bersama Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah inisiatif Loaner Pool, di mana Malaysia menerima penempatan dan menguruskan peralatan pengesanan sinaran bernilai RM3,078,634.

Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan buat MOSTI dan pada masa depan lebih banyak acara-acara sukan bertaraf dunia mungkin akan memilih teknologi dari Malaysia dari sudut keselamatan.

Diharapkan satu hari nanti, bukan teknologi keselamatan dari Malaysia sahaja yang tampil di pentas Piala Dunia, tetapi juga pasukan kebangsaan negara.