Lee Zii Jia terima sokongan padu daripada peminat di Denmark, satu contoh baik buat peminat tempatan

881

Ketika ini, tumpuan peminat sukan badminton dunia sedang tertumpu kepada kejohanan Denmark Open 2022 yang berlangsung di Odense sejak 18 Oktober lalu.

Antara pemain yang membawa cabaran Malaysia pada kejohanan itu adalah Lee Zii Jia yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki.


Menjelang kejohanan itu, beliau telah berlatih kira-kira dua minggu di Denmark bersama-sama pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan rakannya, Anders Antonsen yang berada di ranking kedua dunia.

Zii Jia yang merupakan pemain nombor tiga dunia disambut meriah oleh peminat badminton di Denmark semasa mengadakan sesi latihan di negara itu.

Beliau juga turut dikesan mengadakan sesi tandatangan bersama peminat di sebuah kelab badminton tempatan, Hvidovre Badminton Club.

Dalam aksi pusingan kedua semalam, Zii Jia turut mendapat sokongan daripada peminat badminton Denmark apabiila terdapat sekumpulan penyokong dilihat mengangkat kertas yang tertulis namanya serta bendera Malaysia sebagai tanda sokongan.

Ternyata popularitinya bukan setakat diraih di Malaysia serta Asia, malah beliau turut mempunyai peminat yang fanatik di luar negara.

Tahun ini, prestasinya sedikit terumbang-ambing sehingga dikecam oleh sebahagian peminat badminton tempatan, terutama selepas beliau membuat keputusan menarik diri dari Sukan Komanwel.

Mungkin juga tekanan demi tekanan yang dihadapinya untuk memuaskan hati peminat tempatan membuatkan beliau mengalami kesukaran untuk menampilkan aksi yang baik.

Ini adalah masanya untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu hati memberi sokongan penuh kepada beliau, lebih-lebih lagi kejohanan BWF World Tour Finals sudah semakin dekat.

Sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan oleh penyokong di Denmark walaupun berlainan warganegara boleh dijadikan contoh serta motivasi terbaik untuk meneruskan sokongan terhadap Zii Jia.