Mahali Jasuli sambut baik idea ketengahkan pemain muda pada Piala AFF

634

Pemain kebangsaan, Mahali Jasuli berpendapat bahawa cadangan untuk mengetengahkan pemain-pemain muda pada Piala AFF adalah satu langkah yang positif. 

Menurutnya, ia mampu memberi pendedahan yang baik buat pemain muda beraksi di pentas yang tinggi dengan tunjuk ajar pemain-pemain senior.


“Saya lihat ia adalah peluang terbaik buat pemain muda untuk meningkatkan tahap permainan mereka kerana tiada tekanan buat mereka.

Kombinasi antara pemain muda dan senior adalah baik kerana pemain senior mampu berkongsi pengalaman serta tunjuk ajar kepada mereka beraksi di tahap yang lebih tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya. 

Beliau melihat, pasukan kebangsaan ketika ini mempunya keseimbangan yang baik dari bahagian pertahanan sehinggalah ke bahagian serangan.

Beliau berharap Malaysia yang kini dinimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dapat mengulangi kejayaannya menjulang Piala AFF pada edisi kali ini.

Dalam pada itu, mengenai destinasinya musim depan, Mahali mengakui sudah mendapat tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super namun masih belum membuat keputusan dan fokus terhadap PJ City FC dalam saingan Piala Malaysia terlebih dahulu.

Beliau juga menafikan pasukan Kelantan FC ada menawarkan kontrak kepadanya.

“Saya pun tak tahu-menahu tentang tawaran dari Kelantan, setakat ini memang tiada tawaran dari mereka.”

Mengenai persiapan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau berkata mood di PJ City ketika ini masih sedang bersedih dengan pemergian mendiang P Rajesh. 

Beliau berkata, semua pemain berharap mampu melakukan sesuatu pada perlawanan itu untuk mendiang.