Berjaya bantu Al-Seeb julang trofi Piala AFC adalah kejayaan terbesar dalam karier saya – Rasheed Jabar

130

Perlawanan akhir Piala AFC yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi telah menyaksikan pasukan dari Oman, Al-Seeb telah berjaya menewaskan KL City FC 3-0 dalam aksi yang cukup menarik sepanjang 90 minit permainan.

Menurut ketua jurulatihnya Rasheed Jabar, beliau memberitahu kejayaan julang trofi Piala AFC adalah kejayaan terbesarnya sepanjang bergelar sebagai jurulatih.


“Ini adalah kejayaan terbesar dalam karier saya sebagai seorang jurulatih. Pemain telah memberikan aksi persembahan yang cukup hebat dan kami berjaya menang.

Semua sedia maklum bukan mudah untuk jaringkan tiga gol dalam perlawanan akhir tapi kami telah buktikan dengan sistem permainan kami, ditambah dengan kekuatan mental pemain sepanjang perlawanan,”

katanya.

Tambahnya lagi, bukan beliau sahaja yang mencapai impiannya tetapi juga untuk kelab negara Oman kerana ia penantian lebih 50 tahun telah berakhir.

Dalam pada itu, Rasheed juga berkata beliau sudah dapat menjangkakan corak permainan KL City, oleh itu beliau mengarahkan pemainnya untuk tampil lebih berdisiplin kerana jika mereka buat kesilapan pasti akan dihukum oleh pemain.

Tambahnya lagi, skuad The City Boys sangat bagus ketika bertahan menyebabkan pemainnya sukar untuk masuk ke kotak penalti.

“Gol pertama telah berjaya mengubah keseluruhan permainan.”

Tiga gol Al-Seeb dijaringkan oleh jaringan Al-Busaidi, Al-Muqbali dan Al-Ghassani.

Sementara itu, bagi MVP (Pemain Paling Bernilai) di Piala AFC musim ini iaitu Eid Mohammad Al-Farsi pula berkata kejayaan pasukannya julang trofi di Piala AFC adalah sebagai satu mimpi jadi kenyataan buat dirinya dan juga rakan sepasukan.

“Ia adalah satu mimpi jadi kenyataan dan saya berharap ia bukannya pengakhiran sebaliknya permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini.”