Safee Sali berterima kasih kepada Bojan Hodak dan KL City, jadi pemain pertama Malaysia beraksi di dua final Piala AFC

1,769

Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur City FC, Safee Sali nyata gembira dengan peluang yang dimilikinya selepas diturunkan oleh ketua jurulatih pada perlawanan akhir Piala AFC 2022 menentang Al-Seeb.

Beliau juga berbesar hati tatkala kejayaan ini merupakan suatu pencapaian yang besar buat beliau dan pasukan yang pertama kali beraksi di Piala AFC musim ini.


“Pertama sekali, saya berasa bangga dapat membawa pasukan KL City ke final walaupun kita tewas 3-0.

Pengalaman dan kami berada di sini adalah satu peringkat tertingi buat KL City dan tiada siapa yang pernah capai sebelum ini, suasana yang baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau juga cukup berbangg dengan pencapaiannya menjadi satu-satunya pemain di Malaysia yang pernah beraksi di pentas akhir Piala AFC sebanyak dua kali.

Terdahulu, Safee telah berjaya membantu bekas pasukannya, Johor Darul Ta’zim untuk dinobatkan selaku juara Piala AFC pada edisi 2015.

Beliau telah dimasukkan pada penghujung perlawanan bagi menggantikan ketua pasukan, Paulo Josue.

“Bagi saya satu pencapaian yang baik untuk karier saya, dua kali berada di final Piala AFC, tiada pemain yang melakukannya.

Saya berasa bangga untuk sentiasa melakukan yang terbaik di mana saya berada, bila saya diberi penghormatan bermain pada malam ini saya amat berbangga.”

Safee mengakui kekuatan pasukan lawan mereka yang dilihat berjaya untuk mendominasi perlawanan dan berhasil untuk menghidupkan beberapa pergerakan merbahaya ke arah gawang gol KL City yang dikawal oleh Kevin Mendoza.

Perbezaan fizikal jadi antara jurang utama yang menyebabkan pemain KL City gagal mengekang kemaraan serangan yang dilancarkan oleh Al-Seeb.

“Ada sedikit kelemahan dan kealpaan dari pemain kita sendiri terutamanya pada gol pertama.

Mereka menguasai perlawanan sepenuhnya dan menggunakan peluang, empat peluang dan tiga jaringan menunjukkan statistik yang baik buat Al-Seeb.”

Dalam pada itu, Safee masih belum mempunyai sebarang keputusan bagi menentukan hala tujunya musim hadapan.

Beliau ingin terus memberi fokus pada saingan Piala Malaysia musim ini sebelum melakukan sebarang perancangan masa depan.

“Untuk pasukan KL City, saya belum memutuskan atau membuat sebarang perbincangan.

Untuk musim depan saya belum membuat perbincangan atau berfikir mana tujuan, tapi ia satu penghormatan untuk saya beraksi di final, terima kasih Coach Bojan dan pasukan KL City.