Baddrol Bakhtiar seakan bagi ‘hint’, ada kemungkinan dalam radar Tan Cheng Hoe atau kembali ke negeri kelahiran?

2,915

Hantaran pemain tengah Sabah FC, Baddrol Bakhtiar baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada peminat beliau yang melihat perkara tersebut seakan-akan memberi ‘hint’ tentang masa depannya selepas kempen musim ini berakhir.

Video hitam putih yang dikongsikan oleh pemain tersebut memperlihatkan rangkuman perjalanan pasukan Sabah FC di dalam saingan musim ini berlatarbelakangkan muzik sedih membuat para peminat menganggap Baddrol seolah-olah memberi petanda bakal meninggalkan pasukan tersebut.


Kebanyakan peminat berharap agar pemain tersebut dapat kembali bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman FC.

Baddrol cukup terkenal dengan pencapaian yang pernah dicapai olehnya sewaktu bersama pasukan Kedah.

Beliau pernah membantu pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali, 2007, 2008 dan 2016 serta cemerlang menjulang Piala FA sebanyak empat kali, 2007, 2008, 2017 dan 2019.

Kejayaan-kejayaan seperti ini yang menyebabkan para peminat Sang Kenari cukup menyanjungi serta menyayangi pemain berusia 34 tahun tersebut.

Dalam musim terakhir bersama pasukan Kedah, Baddrol berjaya menjadi penjaring terbanyak tempatan dengan tujuh jaringan walaupun bermain di posisi tengah.

Sekiranya beliau tidak kembali ke Kedah, Selangor FC mungkin menjadi salah sebuah destinasi yang tepat untuk beliau selepas ini.

Tambahan pula, pasukan Selangor FC kini dilatih oleh bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe yang pernah membimbing Baddrol sebelum ini.

Tidak dapat dinafikan, Baddrol merupakan antara pemain kegemaran Cheng Hoe bukan sahaja sewaktu mengendalikan pasukan Kedah malah ketika membimbing pasukan kebangsaan.

Jadi, tidak mustahil sekiranya pemain tersebut mengikut jejak bekas jurulatihnya untuk bersama skuad Gergasi Merah andai kata beliau membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan Sabah FC.

Dengan struktur bajet yang lebih stabil dan besar, Selangor FC dilihat sebagai calon yang kuat untuk mendapatkan khidmat Baddrol memandangkan pasukan Kedah masih dalam usaha menyusun semula pasukan yang dilihat merudum pada musim ini.

Baddrol perlu mencari sebuah pasukan yang mampu menghadiahkan beliau sebarang kejuaraan memandangkan usianya yang sudah menjangkau 30an serta menuju ke penghujung karier.

Peluang mendakap trofi akan menjadi sebuah penutup yang baik buat Baddrol selaku pemain yang sudah sekian lama beraksi di kancah Liga Malaysia (Liga M).

Meskipun berusia, Baddrol masih lagi menjadi antara pemain sandaran utama buat mana-mana pasukan yang diwakili olehnya.

Musim ini, beliau telah diturunkan sebanyak 20 kali di dalam saingan Liga Super oleh ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.  

Hampir kesemua aksi, Baddrol diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau sepanjang beraksi.

Daripada 20 perlawanan, beliau telah berjaya menjaringkan enam gol serta menghasilkan empat bantuan jaringan.

Khidmat Baddrol akan terus ditagih oleh skuad Sang Badak menjelang aksi di Piala Malaysia selepas ini menentang UiTM FC pada 26 Oktober.