Peminat Sri Pahang boleh lupakan Ilhan Fandi, J League jadi sasaran utamanya

1,134

Sebelum ini, ada khabar angin yang mengaitkan kemasukan pemain muda berbakat daripada Singapura, Ilhan Fandi untuk memperkuatkan pasukan Sri Pahang FC.

Terdahulu, Ilhan yang juga merupakan anak kepada Penasihat Teknikal Sri Pahang, Fandi Ahmad dikatakan bakal mengikut jejak langkah ayahnya untuk menyertai pasukan pantai timur tersebut.


Namun, menurut sumber dalaman kepada Harimau Malaya, hasrat tersebut tidak akan menjadi kenyataan dan terpaksa dilupakan oleh para peminat skuad Tok Gajah.

Ini kerana, Ilhan telah meletakkan sasaran lebih tinggi untuk mengikut kejayaan abang-abangnya, Ikhsan Fandi dan Irfan Fandi untuk beraksi di luar negara.

Malah, Ilhan yang kini beraksi bersama kelab Albirex Niigata Singapore FC di dalam Liga Perdana Singapura telah memasang impian untuk pergi lebih jauh berbanding dua abangnya tersebut dan memasang harapan untuk keluar dari rantau Asia Tenggara.

Ikhsan dan Irfan kini beraksi buat pasukan gergasi Thailand, BG Pathum United yang kini berada di tangga ketujuh liga negara tersebut.

Ilhan cemerlang musim ini selepas berjaya membantu pasukannya menjuarai saingan liga dengan memenangi 17 daripada 28 perlawanan keseluruhan.

Meskipun dibarisi oleh kebanyakan pemain Jepun, pemain berusia 19 tahun tersebut berjaya mendapatkan tempatnya serta membuktikan kemampuan beliau selaku penyerang.

Sepanjang aksi liga musim ini, Ilhan telah diturunkan sebanyak 21 kali dan beliau berjaya menjaringkan 17 gol serta tiga bantuan jaringan.

Sebuah statistik yang cukup buat seorang pemain muda berpotensi besar seperti beliau yang semakin mendapat perhatian.

Dengan pencapaian semasa, beliau dilihat akan terus menyambung kontraknya bersama pasukan ini untuk satu-dua musim ke depan.

Ini kerana menurut sumber, beliau berkemungkinan besar akan diserap masuk ke pasukan utama Albirex Niigata FC yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara J2 League di Jepun.

Kejayaan menjadi juara ini membolehkan pasukan tersebut beraksi di dalam saingan J1 musim hadapan.

Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, Ilhan akan berpeluang untuk terus mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi untuk bertemu pemain handalan Asia dari pasukan seperti Yokohama F Marinos serta Kawasaki Frontale.

Dari mata penganalisa bola sepak Singapura, Ilhan dilihat memiliki kualiti yang jauh lebih baik dari segi ‘mobility serta fizikal berbanding Ikhsan dan Irfan.

Perkara ini sedikit sebanyak dibuktikan menerusi ‘vision’ permainan yang ditunjukkan oleh beliau setiap kali diturunkan serta ketajaman di depan gawang lawan untuk memanfaatkan kesemua peluang yang tercipta.

Jelas, Ilhan akan menjadi terus menjadi salah seorang prospek masa depan Singapura yang memiliki potensi besar untuk terus berkembang.

Gandingan tiga beradik ini akan menjadi ‘musuh dalam selimut’ buat pasukan Malaysia pada kejohanan-kejohanan peringkat Asia Tenggara selepas ini.