Pilihan raya tidak akan memberi kesan besar kepada Liga Malaysia – Stuart Ramalingam
Tidak dapat dinafikan penglibatan ahli politik di dalam persatuan bola sepak negeri telah sedikit sebanyak memberi kesan positif.
Sebagai contoh, sokongan tanpa henti yang diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad kepada Kuala Lumpur City FC telah berjaya membawa pasukan tersebut sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC tahun ini.
Kehadiran Datuk Seri Bung Moktar di dalam badan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sedikit sebanyak telah menjadi pembakar semangat kepada pasukan Sabah FC beraksi cemerlang sepanjang musim ini di tangga ketiga Liga Super.
Namun, kebanyakan daripada mereka dilantik sebagai orang penting persatuan bola sepak negeri terentu adalah berdasarkan portfolio semasa yang dipegang oleh mereka.
Dengan pilihan raya bakal berlaku tidak lama lagi, semestinya akan ada perubahan yang akan berlaku terhadap tampuk kepimpinan mana-mana persatuan bola sepak negeri yang dipegang oleh ahli politik.
Walau bagaimanapun, Ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam percaya bahawa tiada sebarang kesan atau perubahan drastik yang bakal berlaku selepas selesainya pilihan raya pada 19 November kelak.
“Saya rasa pillihan raya tidak akan terlalu memberi kesan kepada kita sebagai sebuah liga profesional, kami percaya pilihan raya adalah sesuatu yang perlu dilakukan buat masa ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Stuart juga berpendapat bahawa pilihan raya tidak lain dan tidak bukan akan memberi manfaat serta kelebihan yang besar dalam memperbaiki semula keadaan ekonomi negara.
Faktor ini dianggap penting buat Stuart serta MFL dalam memastikan mereka dapat terus memperbaiki kualiti Liga Malaysia selepas ini untuk terus menarik minat lebih ramai orang.
“Dengan kestabilan kerajaan dan ekonomi, kita akan dapat menambahkan lagi nilai komersial liga ini, kami harap matlamat pilihan raya akan membantu kita memperoleh sebuah industri bola sepak yang lebih profesional.”
Selain daripada pemulihan ekonomi negara, Stuart juga sekali lagi menegaskan bahawa inisiatif yang telah diambil oleh MFL dalam mengubah struktur liga musim depan akan memberi faedah yang besar kepada pasukan-pasukan di Malaysia.
“Penstrukturan semula liga selepas ini sedikit sebanyak akan membantu pasukan untuk menambahkan duit untuk berada di tahap yang lebih baik.”
Semoga dengan perubahan dan penstrukturan yang dilakukan selepas ini dapat terus meningkatkan lagi kualiti liga kita ke peringkat yang lebih tinggi.