Azraai Khor yakin Victor Andrag mampu galas tanggungjawab bimbing Kedah Darul Aman FC di Piala Malaysia

560

Legenda bola sepak Kedah, Azraai Khor yakin dengan kemampuan bekas pemainnya, Victor Andrag untuk membimbing pasukan Kedah Darul Aman FC di saingan Piala Malaysia musim ini.

Victor diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih sementara selepas Aidil Sharin dilepaskan oleh pihak pengurusan susulan daripada prestasi hambar yang ditunjukkan oleh pasukan terutama sekali selepas lima kekalahan berturut-turut di penghujung saingan Liga Super musim ini.


“Anak buah saya sendiri, Coach Victor Andrag diberikan kepercayaan untuk membimbing pasukan dalam Piala Malaysia.

Itu mengimbau kembali sejarah di mana saya ambil alih pada tahun 2004 semata-mata untuk Piala Malaysia sahaja, bezanya Coach Victor bersama pasukan dari awal,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azraai mula mengambil alih skuad Sang Kenari pada Ogos 2004 dan berjaya membawa pasukan tersebut sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun tersebut sebelum tewas tipis di tangan Perlis.

‘Double Treble’ merupakan antara kejayaan terbesar yang pernah dicapai oleh Azraai sewaktu menjadi ketua jurulatih pasukan Kedah.

Victor merupakan salah seorang pemain pasukan Kedah ketika itu yang berjaya memenangi tiga gelaran, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut.

Pengalaman sebegini jelas akan memberi kelebihan buat Victor dalam memastikan dirinya sentiasa bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar selepas ini.

“Victor banyak benda yang telah dia pelajari sebagai seorang pemain di bawah saya.

Dia bersama dengan pasukan sekian lama walaupun sebagai seorang pembantu, beliau boleh memerhati apa yang dilakuka oleh ketua jurulatih sebelum ini.”

Pada masa yang sama, Azraai turut mengakui sedikit sedih melihat kepada persembahan semasa pasukan kesayangannya yang nyata merudum pada musim ini.

Selain daripada terkandas di peringkat kalah mati Piala AFC, Kedah hanya berjaya menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga kelapan selepas mencatatkan 11 kekalahan daripada 22 perlawanan.

“Untuk pasukan Kedah yang musim ini kita nampak suram sangat-sangat dengan pelbagai insiden berlaku.

Bagi saya, apa yang biar berlalu, yang penting untuk bersedia bagi menghadapi siri Piala Malaysia tahun ini.”

Kedah akan membuka saingan Piala Malaysia bertemu pasukan Negeri Sembilan FC pada esok hari (26 Oktober) yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman.

Peminat semestinya berharap Victor dapat menghadiahkan sesuatu kepada pasukan sebagai penutup yang baik buat kempen musim ini.

Beliau memulakan tugas di Kedah selaku jurulatih skuad belia pada tahun 2014 sebelum dilantik sebagai pembantu jurulatih pada tahun 2019.