Khalid Samad rancang tingkatkan fasiliti latihan, tubuh akademi bola sepak baru untuk KL City FC

556

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengakui beliau mempunyai perancangan untuk mempertingkatkan lagi kemudahan fasiliti latihan KL City FC dan menyiapkan sebuah akademi bola sepak baru.

Menurutnya, ia adalah bagi meningkatkan lagi daya saing pasukan terutama selepas kelab itu mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir Piala AFC musim ini.


“Semestinya kemudahan yang ada perlu dipertingkatkan bukan sahaja stadium, tetapi kita punya fasiliti dan padang latihan pasukan.

Jika keadaan mengizinkan, kita akan siapkan akademi bola sepak yang baru dengan lima atau enam padang dengan standard profesional,” katanya.

Tambahnya, beliau juga mahu menyelesaikan isu pajakan Stadium Cheras supaya tidak timbul isu-isu dengan pihak ketiga.

Beliau bertekad mahu menjadikan KL City sebuah pasukan bola sepak yang boleh dibanggakan, dan mengaskan bahawa kelab itu tidak sepatutnya menjadi sebuah kelab kecil memandangkan mereka adalah pasukan ibu negara.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa KL City memperoleh jumlah wang yang besar hasil kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFC namun mendedahkan bahawa perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh pasukan juga dalam kejohanan itu adalah tinggi.

“Saya akui wang hasil daripada Piala AFC memang agak lumayan tetapi tiada orang yang laporkan tentang perbelanjaan contohnya wang tambang tiket pergi dan balik untuk ke Uzbekistan bagi perlawanan menentang Sogdiana sahaja sudah mencecah RM500,000.

Tidak dinafikan memang ada keuntungan daripada kejohanan itu tetapi tidaklah seperti yang dianggarkan oleh orang ramai.”

Sementara itu, Khalid berkata bahawa sesiapa yang berhasrat untuk melihatnya berundur daripada KLFA hanya akan dapat melihat perkara itu berlaku pada tahun depan semasa Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu sekiranya beliau tewas dalam pemilihan.

Beliau menegaskan tidak sesekali akan berundur dengan mudah walaupun berdepan tekanan luar dan berkata nasib ketua pegawai eksekutif, Stanley Bernard mungkin tidak menentu sekiranya beliau berundur.