Jadikan Faiz Nasir & Arif Aiman sebagai idola, tekad bawa AMD Cougars B14 ke final Piala Supermokh – pemain AMD Cougars B14
AMD Cougars B14 gagal memanfaatkan peluang selepas terpaksa akur seri 2-2 menentang wakil dari Korea Selatan, Hwaseong FC pada perlawanan pertama Piala Supermokh.
Bagaimanapun, pemain tengah pasukan, Izz Muhamad Suhaidi menerima keputusan ini dengan baik dan akan terus memberikan fokus kepada perlawanan selepas ini.
“Saya berpuas hati sedikit dengan keputusan yang dicapai oleh pasukan kami pada hari ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Rakan sepasukannya, Farish Zakry yang beraksi di bahagaian sayap bertekad untuk mendapatkan semangat kembali menjelang perlawanan esok bagi membolehkan pasukan ini melangkah lebih jauh di kejohanan ini.
“Kami rasa kami perlu berusaha lebih keras lagi selepas ini.
Kami berharap boleh sampai ke peringkat akhir dan akan memperbaiki persembahan terutamanya dari segi penyudah.”
Kedua-dua pemain muda ini menjadikan beberapa orang pemain tempatan sebagai contoh kepada mereka untuk beraksi di atas padang.
“Saya meminati Faiz Nasir yang juga bertubuh kecil.” kata Izz.
“Untuk saya, pemain dalam negara yang saya minati dan sering melihat adalah Arif Aiman.” Tambah Farish
Sepanjang perlawanan ini, dapat diakui bahawa pasukan AMD Cougars B14 lebih mendominasi perlawanan sejak wisel pertama dibunyikan.
Namun, kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang termasuk satu sepakan penalti yang tersasar menjadi antara penghalang utama buat pasukan ini meraih kemenangan.