Ruventhiran mampu perkuat bahagian sayap kiri KDA FC musim depan

478

Walaupun keterujaan peminat kini kepada kehangatan kejohanan Piala Malaysia, namun ramai juga membincangkan mengenai perancangan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Peminat Kedah Darul Aman FC (KDA) antara peminat yang paling ‘rancak’ membincangkan mengenai persiapan pasukan kesayangan mereka apabila mereka sudah redha dengan prestasi buruk Sang Kenari untuk musim ini, malah tidak meletakkan harapan tinggi untuk kempen Piala Malaysia.


Selepas pengurusan KDA dan Aidil Sharin Sahak bersetuju untuk berpisah, peminat mula berteka-teki siapakah pengganti Aidil Sharin sebagai ketua jurulatih baru dan beberapa nama menjadi sebutan antaranya pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain dan bekas jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang dan beberapa lagi.

Beberapa pemain juga kini sedang dikaitkan bakal ke Darul Aman pada musim hadapan dan salah seorangnya adalah pemain muda PJ City FC iaitu V. Ruventhiran.

Menurut satu sumber, pemain kebangsaan berusia 21 tahun itu dikatakan sudah mendapat tawaran daripada beberapa pasukan termasuk KDA namun masih belum dapat disahkan.

Bagaimanapun jika benar sekali pun ia adalah satu petanda positif kerana Ruventhiran boleh memperkuatkan di bahagian sayap kiri kerana beliau mempunyai kelajuan dan skil yang baik.

Sememangnya posisi sayap kiri adalah milik pemain sensasi Fayadh Zulkifli, namun Fayadh juga sering diletakkan di posisi sayap kanan dan tiada masalah untuk pamer aksi di bahagian tersebut, tambahan pula beliau mempunyai kekuatan kaki kanan.

Jika benar, gandingan antara Ruventhiran dan Fayadh di posisi sayap akan memberi kelebihan buat skuad KDA.

Apa pun sama-sama kita tunggu kerana dikhabarkan KDA akan berwajah baru pada musim hadapan bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah seperti musim-musim terdahulu.

Berdasarkan aksi pusingan pertama Piala Malaysia semalam, ketua jurulatih interim KDA iaitu Victor Andrag telah mengambil pendekatan untuk mempertaruhkan ramai pemain muda pada perlawanan semalam.

Biarpun tewas 2-1, namun aksi pemain-pemain muda ini harus dipuji kerana mereka tetap memberi saingan sengit kepada pasukan yang mempunyai ramai pemain senior berpengalaman dan juga pemain kebangsaan.

Menjelang perlawanan pusingan kedua nanti, Victor dijangka akan terus mempertaruhkan barisan pemain muda untuk cuba bangkit mencipta kejutan di Stadium Paroi minggu depan.