Tomislav Steinbruckner harap Nafuzi Zain terima lanjutan kontrak untuk kekal di Terengganu FC

1,753

Pengarah Teknikal Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap agar lanjutan kontrak yang ditawarkan oleh pihak pengurusan pasukan kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain dapat dipertimbangkan sebaiknya oleh beliau.

Terdahulu, difahamkan bahawa pihak pengurusan TFC telah menawarkan Nafuzi tempoh lanjutan setahun untuk terus mengendalikan pasukan pada saingan musim hadapan.


“Saya harap kelab dapat mengekalkan kontrak Coach Nafuzi kerana beliau layak menerimanya.

Saya rasa beliau telah melakukan persiapan untuk musim depan, mungkin ada perubahan pemain keluar, kami di kelab sudah memberi tawaran kepada beliau,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nafuzi berjaya membutikan kredibiliti beliau sebagai seorang jurulatih berkualiti tatkala berjaya membawa pasukan cemerlang di saingan domestik musim ini.

Tambahan pula, kewibawaan beliau telah berjaya membolehkan pasukan Terengganu FC memperoleh slot ke Piala AFC selepas mengakhiri saingan Liga Super musim ini pada tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim FC.

“Saya tidak tahu tapi saya mendengar perkhabaran tentang perpindahan Coach Nafuzi tetapi alangkah bagus sekiranya beliau putuskan untuk kekal.

Beliau berjaya mendapatkan keputusan yang baik musim ini dan musim depan adalah suatu cabaran yang besar, Piala AFC adalah cabaran yang besar untuk beliau dan pasukan.”

Sebagai orang penting buat pasukan Terengganu, Steinbruckner mengakui kemampuan yang dimiliki oleh Nafuzi selama membimbing skuad Sang Penyu.

Selain cemerlang di Liga Super, Terengganu juga berjaya layak ke perlawanan akhir Piala FA namun tewas di tangan JDT 3-0.

“Beliau adalah seorang jurulatih muda yang bagus dari Malaysia, tetapi dua minggu selepas ini kami akan melihat kepada keputusan beliau.

Saya sasarkan beliau untuk lanjutkan kontraknya bersama Terengganu bagi membolehkan kami mencapai sasaran yang tinggi selepas ini di Piala AFC dan Liga Super.”

Steinbruckner yang berasal dari Croatia telah dibawa masuk oleh pihak pengurusan Terengganu pada awal tahun ini.

Terengganu akan membuka tirai kempen Piala Malaysia musim ini bertemu pasukan jiran pantai timur, Sri Pahang FC pada perlawanan pertama pusingan 16 di Stadium Darul Makmur.

Semestinya mereka meletakkan harapan untuk terus mempamerkan aksi cemerlang untuk menamatkan musim ini dengan kejayaan yang lebih gemilang.

Steinbruckner berada di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) untuk melihat aksi-aksi pemain muda yang kini beraksi di kejohanan Piala Supermokh 2022.