Ketua jurulatih Chonburi FC B14 yakin pemain Malaysia miliki peluang besar untuk beraksi di Thailand
Wakil negara, AMD Panthers B14 berjaya menewaskan pasukan dari Thailand, Chonburi FC B14 pada perlawanan yang berakhir dengan keputusan 4-0 dalam saingan Piala Supermokh hari ini (27 Oktober).
Ketua jurulatih Chonburi FC, Hillary ternyata berasa kagum dengan prestasi dan kualiti permainan yang dipamerkan oleh para pemain dari Malaysia sepanjang perlawanan berlangsung.
Persembahan yang dipamerkan oleh para pemain dari Malaysia berjaya mengatasi dominasi yang dimiliki oleh pasukan lawan yang dilihat lebih menguasai perlawanan sejak wisel pertama ditiupkan.
“Sudah semestinya mereka memiliki peluang, kekurangan yang lihat saya lihat di Liga Thailand adalah semangat berjuang.
Dan itu adalah apa yang saya kagumi di kalangan pemain Malaysia, mereka miliki peluang besar untuk beraksi di sana serta liga yang lebih besar di luar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Meskipun tidak memiliki perbezaan yang besar dari segi bentuk fizikal, Hillary tetap mengakui satu kelebihan yang dimiliki oleh para pemain muda di Malaysia yang membuatkan mereka mampu bersaing dengan kuat di peringkat antarabangsa.
Salah satunya adalah semangat tidak pernah mengalah yang sering menjadi perbezaan utama di antara pemain negara dengan wakil dari negara lain terutamanya di sekitar Asia Tenggara.
“Pemain muda di Malaysia mereka seperti pejuang, mereka akan menyerang sehabis baik serta laju.
Kami terpaksa membuat mereka berlari dengan lebih banyak untuk memenatkan mereka namun tetap tidak berjaya.”
Walaupun tewas besar di tangan pasukan lawan, Hillary tidak ingin para pemain muda yang dimilikinya terlalu terkesan dengan perkara tersebut.
Malah, beliau ingin kesemua mereka dapat memperoleh sebanyak pengalaman dan ilmu yang dapat ditimba sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya ingin pemain memahami bahawa ini adalah untuk pengalaman mereka dan ia sebuah proses pembelajaran untuk bertemu dengan lawan yang berkualiti tinggi.
Bukan sahaja di Thailand, kita akan cuba belajar dari kesilapan ini dan jadi lebih baik selepas ini.”
Pasukan Chonburi dilihat lebih menguasai perlawanan namun kebanyakan daripada peluang yang terhidang di hadapan gawang gagal dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan serangan.
Situasi ini jadi antara faktor utama yang menjerumus kepada kekalahan yang dihadapi oleh mereka pada perlawanaan ini.
“Saya rasa kita memiliki banyak peluang dalam perlawanan tetapi tidak berjaya memanfatkaan keadaan tersebut.
Pasukan lawan memanfaatkan peluang tersebut, mereka lakukan dengan sangat bagus, kami cuba mengubah di babak kedua tetapi tetap gagal menghasilkan penyudah.”