Perlu berikan peluang kepada semua pemain, kita tidak tahu siapa yang akan berjaya selepas ini – Khirul Nazrin
Pasukan AMD Cougars B13 berjaya mengatasi SMK Ibrahim Fikri pada perlawanan ketiga hari ini selepas memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0.
Lebih membanggakan, kepercayaan ketua jurulatih, Khirul Nazrin menurunkan hampir kesemua pemain yang dimilikinya sepanjang tiga perlawanan ini akhirnya berjaya membuahkan hasil.
Kesemua pemainnya dilihat berjaya menunjukkan peningkatan yang baik dalam mengawal pergerakan bola serta mengatur pergerakan dan serangan ke arah gawang lawan.
“Keputusan adalah perkara kedua, di usia ini kita perlu memberikan peluang kepada semua pemain kerana kita tidak tahu siapa yang akan berjaya selepas ini.
Mungkin kita tengok ada pemain yang kurang bermain tapi saya tetap beri peluang untuk semua merasa, saya puas hati dengan persembahan mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau turut akui bersaing di Piala Supermokh tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah buatnya dan para pemain.
Tambahan pula, mereka perlu bertemu dengan lawan daripada negara seperti Vietnam yang memiliki kelebihan dari segi fizikal.
“Sudah semestinya di dalam mana-mana perjalanan, kita akan bertemu dengan halangan yang sukar.
Tapi kita berjaya perbaiki dengan kemenangan pada perlawanan ketiga, saya bangga dengan mereka.”
Khirul yakin bahawa kejohanan ini adalah medium terbaik untuk memberi pendedahan kepada kesemua pemainnya untuk terus cemerlang di masa hadapan.
Usaha ini akan terus menyokong inisiatif serta segala kerja keras yang telah dijalankan selama ini bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu menyarung jersi negara di masa hadapan.
“Saya amat bangga dengan game ketiga ini kerana kami berjaya mendapatkan mata dan menang.
Tapi, yang paling penting di dalam pembangunan belia adalah untuk memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi.