Syed Azla gembira bawa SMK Ibrahim Fikri di Piala Supermokh, peluang merasai bola sepak di tahap berlainan
Ketua jurulatih pasukan SMK Ibrahim Fikri, Syed Azla nyata gembira dengan peluang dimiliki oleh beliau dan para pemain untuk bersaing di kejohanan Piala Supermokh tahun ini.
Meskipun belum mencapai kemenangan, para pemain SMK Ibrahim Fikri berjaya mempamerkan semangat juang tinggi dalam memberi cabaran baik kepada semua pasukan lawan yang dihadapi oleh mereka.
“Pertama sekali, apa yang saya rancang dapat diikut dengan baik oleh para pemain.
Saya beritahu mereka di sini kita akan belajar berhadapan dengan bola sepak di tahap yang lain, mereka dapat jalankan tugas dengan baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Syed Azla melihat penyertaan kali ini dari segi positif dalam usaha untuk membantu perkembangan potensi anak buahnya.
Tambahan pula, mereka berpeluang bertemu dengan pasukan yang jauh lebih bersedia seperti PVF Academy dari Vietnam serta Asiana Soccer Schools.
“Ini adalah peluang untuk para pemain saya, perlawanan pertama kita bertemu dengan Vietnam.
Kita dapat belajar dari satu perlawanan ke satu perlawanan, mereka dapat perbaiki segala kelemahan dengan baik.”
Selesai tiga perlawanan, SMK Ibrahim Fikri berada di tangga terakhir Kumpulan B dalam saingan B13 selepas gagal mencapai sebarang kemenangan.