SNBJ tetap jadi keutamaan sebagai ‘home’ Harimau Malaya – Noor Azman
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memberitahu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetap menjadi keutamaan sebagai ‘home’ untuk pasukan kebangsaan untuk perlawanan persahabatan dan juga dua perlawanan Piala AFF 2022.
Noor Azman bagaimanapun berkata pihaknya akan membuat pengesahan mengenai perkara itu dalam satu sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
“SNBJ tetap jadi keutamaan tapi kita perlu tengok terlebih dahulu keadaan nanti,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut berkata sekiranya SNBJ tidak dapat digunakan, FAM sudah mempunyai senarai pendek beberapa venue yang boleh dijadikan sebagai home skuad Harimau Malaya.
Antara venue yang sudah disenarai pendek adalah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium (Terengganu), Stadium Hang Jebat (Melaka) dan Stadium Sultan Ibrahim (Johor).
“Tiada kebimbangan mengenai venue alternatif. Kita akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk musim hujan ketika ini.”
Tambahnya lagi, pihaknya perlu membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan venue yang dipilih menepati pelbagai kriteria seperti permukaan padang, kapasiti stadium, keselamatan dan juga kemudahan untuk peminat ke stadium.
Dalam pada itu, beliau juga tidak dapat memberi komen mengenai pasukan yang bakal bertemu dengan skuad negara dalam dua perlawanan persahabatan pada November nanti.
Noor Azman berkata pasukan mana yang akan menentang skuad negara akan diumumkan sendiri oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon tidak lama lagi.