Noor Azman sahkan FAM sudah ada perbincangan dengan pihak penyedia VAR
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa pihak mereka sudah pun mendengar taklimat daripada penyedia VAR (video assistant referee).
“Memang ada dari segi peringkat Jawatankuasa Pengadil memang ada taklimat daripada penyedia VAR iaitu dari Hawk-eye dan MediaPro.
Perkara itu kini berada di peringkat finalised dari segi kos dan sebagainya,”
katanya.
Noor Azman juga berkata pihak FAM juga akan mempertimbangkan samada mereka akan membeli atau menyewa teknologi VAR itu yang mana perkara itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengadil untuk membuat penilaian.
Beliau bagaimanapun menegaskan mereka tidak akan terburu-buru kerana pelbagai kriteria perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Sekarang ini kita mahu ambil input-input terlebih dahulu berapa costing, macam mana penggunaannya, kesesuai lux dan stadium. Banyak kriteria yang perlu diambil kira dan kita kena kaji dulu.”
Beliau juga tidak dapat memberikan tempoh bila Liga Malaysia akan menggunakan VAR kerana perlu menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengadilan dahulu.
Terdahulu, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi stadium pertama negara menggunakan teknologi VAR untuk perlawanan akhir Piala AFF 2022 pada 22 Oktober lalu.
Perkembangan VAR untuk saingan Liga Malaysia adalah satu petanda yang cukup positif buat liga tempatan kerana liga-liga di negara jiran seperti Thailand sudah pun lama menggunakan VAR, liga Singapura dan Vietnam pula akan mula menggunakan VAR pada musim hadapan, manakala liga di Indonesia juga sudah dilapor akan menggunakan VAR tidak lama lagi.
Namun selain SNBJ, yang menjadi persoalan kini adalah mampukah teknologi ini digunakan oleh semua pasukan di Liga Malaysia kerana ketika ini hanya Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja mempunyai kemudahan untuk VAR kerana stadium itu milik kelab.
Ini kerana stadium yang digunakan oleh pasukan lain di Liga Malaysia kesemuanya milik kerajaan negeri yang disewakan kepada kelab.
Apa pun kita nantikan perkembangan terbaru menenai penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia dari semasa ke semasa.