Nafuzi Zain akui belum terima sebarang kontrak lanjutan, tekad hadiahkan sesuatu untuk peminat

312

Sejak kebelakangan ini, hala tuju ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pada musim depan terus menjadi tanda tanya di kalangan peminat setia pasukan selepas dikhabarkan ada menerima tawaran daripada kelab lain di Liga Malaysia (Liga M).

Terbaru, dikatakan bahawa pihak pengurusan pasukan telah menawarkan lanjutan kontrak selama setahun kepada beliau.


Namun, Nafuzi menafikan perkara tersebut kerana secara dasarnya beliau masih belum menerima sebarang tawaran rasmi seperti yang telah diperkatakan.

“Saya tidak tahu kerana sampai sekarang saya belum menerima sebarang kontrak atau sebarang butiran di depan mata.

Mungkin kesuntukan masa, jadi saya belum dapat apa-apa lagi setakat ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun begitu, beliau akan terus memberikan fokusnya dalam membawa pasukan bimbingannya mara dengan lebih jauh di saingan Piala Malaysia tahun ini.

Nafuzi percaya bahawa kejayaan di kejohanan berprestij ini sudah semestinya akan mengembirakan para peminat setia mereka yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Ini juga akan menjadi hadiah terbaik yang dapat dihasilkan oleh Nafuzi sekiranya ini benar-benar menjadi musim terakhirnya bersama pasukan pantai timur tersebut.

“Harapan peminat untuk saya kekal, saya tidak ingin kecewakan mereka dan akan berusaha untuk membawa sehingga ke final Piala Malaysia.

Kalau saya kekal atau tidak, ia adalah untuk kebaikan semua pihak dan bukan saya semata-mata.”

Pasukan Terengganu membuka tirai saingan Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas mudah menewaskan Sri Pahang di perlawanan pertama pusingan 16.

Kejayaan pada perlawanan ini menjadi hadiah hari jadi terbaik buat pengendali berusia 44 tahun tersebut.

“Syukur, memang hari ini kebetulan hari jadi saya jadi ini adalah kemenangan yang berharga.

Hadiah yang begitu berharga, pemain menghadiahkan malam ini untuk saya, saya terharu dengan usaha pemain saya.”

Para pemain Terengganu berjaya mendominasi perlawanan seawal wisel pertama dibunyikan sehingga mereka berhasil mencipta dua gol di minit awal permainan.

Kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan menjadi antara penyebab utama mereka mudah mengalahkan pasukan Sri Pahang dengan jaringan besar, 5-1.

“Perancangan kita pada hari ini adalah untuk menunggu masa yang sesuai menjadi.

Kita mendapat gol awal dan ia menjadi moral dan penambah keyakinan kepada para pemain.”

Namun, Nafuzi enggan mendabik dada terlalu awal dan berharap agar para pemainnya terus memberikan fokus kepada usaha merealisasikan impian mereka untuk cemerlang di saingan Piala Malaysia.

“Kita tahu tradisi Piala Malaysia memang berbeza dengan kejohanan yang lain.

Untuk pertama, kita cuba melepasi peringkat awal dahulu kerana bertemu Sri Pahang bukanlah sesuatu yang mudah.”