Mampukah pasukan Liga Super menaik taraf stadium sebagai persediaan untuk penggunaan VAR?
Peminat bola sepak tanah air kini berbangga apabila ranking Liga Malaysia kini No.1 di Asia Tenggara, namun realitinya kita masih ketinggalan terutamanya dengan liga di negara jiran terutamanya Thai League 1.
Walaupun Liga Malaysia berada di puncak rantau Asia Tenggara, namun saingan liga tempatan masih lagi tidak menggunakan teknologi VAR (video assistant referee) seperti yang diguna pakai di Thai League 1 sejak sekian lama.
Malah beberapa liga di negara jiran iaitu Singapore Premier League sudah mengesahkan akan menggunakan VAR pada musim 2023, manakala V. League 1 dan Liga 1 Indonesia juga bakal menggunakan teknologi bantuan pengadil itu tidak lama lagi.
Liga Malaysia ketika ini masih lagi belum serius untuk memperkenalkan VAR dalam saingan liga tempatan kerana ketika ini ia masih diperingkat awal.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman semalam yang mengakui pihaknya sudah pun mendengar taklimat daripada dua penyedia VAR baru-baru ini.
Noor Azman berkata perkara itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengadilan yang akan menilai dan membuat laporan penuh untuk dipertimbangkan.
Pengesahan oleh FAM itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada peminat bola sepak tempatan kerana badan induk bola sepak negara itu peka dan sedang berusaha untuk meningkatkan kualiti Liga Malaysia.
Bagaimanapun, persoalan kini perlu dilontar semula kepada pengurusan kelab-kelab bola sepak di Liga Malaysia iaitu adakah mereka mampu menaik taraf stadium masing-masing untuk penggunaan VAR?
Berdasarkan keadaan semasa, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang dilihat sudah bersedia untuk menggunakan teknologi VAR kerana Stadium Sultan Ibrahim mempunyai kelengkapan untuk penggunaan VAR kerana stadium tersebut adalah milik mereka sendiri.
Manakala stadium pasukan lain di Liga Malaysia kesemuannya adalah stadium yang disewakan oleh kerajaan negeri masing-masing sekaligus menyukarkan untuk pengurusan kelab untuk membuat sebarang kerja-kerja naik taraf berikutan perlu mendapat kebenaran daripada pemilik stadium.
Adakah mustahil? Sudah semestinya tidak kerana bola sepak adalah sukan yang menyatukan jadi kepada pihak kerajaan negeri tidak kiralah sesiapa pun yang akan mentadbir kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU) nanti, kerjasama dengan kelab bola sedia ada perlu diteruskan.
Kerajaan negeri yang merupakan pemilik stadium boleh mamajak kepada kelab bola sepak untuk dibangunkan dan kelab pula boleh menjana pendapatan dalam pada masa sama kerajaan negeri akan mendapat manfaat.
Dua contoh terbaik boleh dijadikan sebagai panduan adalah kelab amatur iaitu Real Chukai FC dan Kerteh FC yang mana kedua-dua kelab ini mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada majlis daerah yang memajak stadium kepada kelab tersebut untuk dibangunkan.
Kerjasama antara kelab dan kerajaan negeri atau majlis daerah bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua pihak sahaja tetapi juga kepada masyarakat di sekeliling yang mana ia akan memberi ruang dan peluang untuk meningkatkan ekonomi setempat.
Apa yang dilakukan oleh dua kelab kecil ini telah memperlihatkan sikap yang cukup profesional pengurusan kelab yang mempunyai visi dan misi jelas dalam membangunkan sukan bola sepak.
Jadi, kelab-kelab besar di Liga Super tidak perlu berasa malu untuk belajar daripada kedua-dua kelab ini supaya home ground masing-masing tampak gah setara dengan status mereka sebagai kelab di Liga Super.
Ketika ini kebanyakan stadium negeri berada dalam keadaan yang cukup daif sekali dan using, jadi jika FAM sudah mula mahu mempertimbangkan menggunakan VAR dalam saingan Liga Malaysia, maka kelab-kelab perlu proaktif dan mula ‘buat kerja’ untuk menaik taraf stadium masing-masing supaya bersedia jika VAR mahu diperkenalkan. Jangan buat kerja di saat-saat akhir bak kata pepatah, ‘nak terberak baru nak gali lubang’.