Sudah tiba masanya kualiti padang diutamakan supaya tak jadi ‘bendang’ bila hujan lebat! Padang hybrid boleh jadi solusi terbaik

796

Selain isu tunggakan gaji dan pelbagai lagi kontroversi lain dalam saingan Liga Malaysia, isu padang sering menjadi bualan setiap tahun terutamanya apabila tiba musim hujan berikutan kualiti padang yang cukup teruk.

Pada bulan Jun lalu, stadium keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak dunia apabila padang menjadi ‘bendang’ apabila hujan turun dengan lebat sebelum perlawanan di antara Malaysia dan Bahrain.


Lebih parah lagi apabila pekerja stadium menggunakan penyodok sampah untuk menolak air di padang dan perkara ini menjadi bahawa ketika ramai dan dikecam teruk oleh peminat bola sepak tanah air.

Insiden padang menjadi ‘bendang’ terus berlaku di Stadium Paroi, Negeri Sembilan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA) terpaksa ditunda dek keadaan padang yang bertakung air.

Dua hari lalu, Stadium Darul Aman pula menjadi perhatian apabila hujan lebat yang turun sejak petang telah menyebabkan beberapa bahagian padang bertakung dengan air ketika perlawanan Piala Malaysia membabitkan Negeri Sembilan dan KDA.

Ketika perlawanan, pemain kedua-dua pasukan kelihatan bergelut untuk beraksi dengan baik berikutan keadaan padang yang teruk dan sedikit sebanyak merencatkan corak permainan walaupun keseluruhan permainan sengit.

Isu padang tidak boleh dilihat di atas permukaan padang sahaja sebaliknya sistem perparitan juga memainkan peranan penting yang mana sistem peparitan yang efisyen dapat mengeluarkan air bertakung dengan cepat.

Banyak lagi contoh boleh diberikan, namun tidak perlu kita sering mengulas isu yang sama sebaliknya satu solusi perlu dicari untuk menyelesaikan masalah kualiti padang ini.

Antara solusi yang boleh dipertimbangkan adalah menggunakan padang hybrid yang merupakan gabungan rumput semulajadi dengan rumput sintetik (artificial fibres) yang bukan sahaja murah berbanding rumput semulajadi seperti Zoysia Zeon yang digunakan di Stadium Sultan Ibrahim milik Johor Darul Ta’zim (JDT), tetapi juga tahan lasak dan boleh digunakan secara kerap tanpa menyebabkan kerosakan padang.

Contoh terbaik penggunaan padang hybrid ini adalah di Stadium Goa Pandit Jawaharlal Nehru yang menjadi salah satu venue untuk kejohanan Piala Dunia Wanita B-17 2022 di India.

Sebanyak 16 dari 32 perlawanan dilangsungkan di stadium tersebut dalam tempoh singkat tidak langsung menjejaskan kualiti padang tersebut walaupun kejohanan itu berlangsung pada musim monsoon.

Padang hybrid juga tiga kali lebih stabil berbanding padang rumput semulajadi sekaligus membuatkan pemain lebih dengan lebih bebas tanpa bimbang akan mengalami kecederaan.

Proses pemasangan padang hybrid juga tidak memakan tempoh yang lama sebaliknya sekitar tujuh hingga 10 hari sahaja dengan mempunyai jangka hayat hampir sedekad.

Penggunaan padang hybrid kini semakin popular di seluruh dunia kerana kosnya yang tidak terlalu mahal selain tahan lasak dan mampu tahan lama.

Oleh itu, pengurusan kelab mungkin boleh mempertimbangkan untuk menaik taraf padang masing-masing kerana dengan padang berkualiti ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti permainan dan menjadi lebih menarik.