Dakwaan PSPS Riau tak bayar gaji dua bulan hanyalah fitnah, ada pihak yang betul mahukan Zamsaham berundur
Selepas kecoh mengenai tunggakan gaji yang didakwa tidak dibayar selama dua bulan, PSPS Riau akhirnya mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.
Menurut kelab itu, kelab memang lewat membayar gaji tetapi hanya tempoh 10 hari dan bukannya dua bulan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Kelewatan itu juga ada kaitan dengan perpindahan home base kelab itu yang memerlukan dana yang besar.
Nampaknya seperti ada pihak yang sengaja menimbulkan fitnah terhadap pihak pengurusan kelab yang diketuai oleh pemilik dari Malaysia iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.
Sebelum ini juga, terdapat individu yang menampal poster ‘Zamsaham Out’ di sekitar Riau untuk memberi tekanan kepada usahawan tersebut berundur dari kelab itu.
Perjalanan Zamsaham sejak mengambil alih kelab itu juga bukanlah mudah kerana pernah melalui pelbagai dugaan termasuk dengan pihak berkuasa tempatan akibat keganasan yang dilakukan oleh penyokong di dalam stadium.
Boleh dikatakan bahawa pihak berkenaan sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menabur fitnah, asalkan berjaya membuatkan Zamsaham berundur.
Tidak mustahil pada masa depan, lebih banyak lagi perkara seperti ini akan timbul bagi terus memberi tekanan kepada beliau.
Kemarahan penyokong mungkin ada sebabnya memandangkan pasukan itu kini terperosok di tangga tercorot kumpulan A Liga 2 Indonesia.
Namun, tindakan menabur fitnah seperti itu tidak seharusnya berlaku dan banyak lagi cara lain untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap persembahan buruk pasukan.