Kreativiti di atas padang mengatasi kelebihan fizikal, IQ dan teknikal jadi penentu – Hasnizam Uzir

255

Bekas pemain Johor FA, Hasnizam Uzir percaya bahawa pemain muda di Malaysia memiliki potensi besar untuk menyinar meskipun sering dibandingkan dari segi fizikal dengan pemain dari luar negara.

Beliau menganggap dalam bola sepak masa kini, fizikal tidak menjadi halangan utama untuk seseorang membuktikan kemampuan beliau di atas padang.


“Pada saya fizikal tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting adalah IQ dan teknikal seseorang pemain tersebut yang perlu digilapkan.

Itu tidak menjadi masalah sekiranya mereka bijak melakukan sesuatu dengan kreativiti, teknik yang betul dan keinginan yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau cukup teruja dengan kemunculan semula kejohanan antarabangsa seperti Piala Supermokh yang dianjurkan pada tahun ini.

Ini kerana, Hasnizam melihat acara seperti ini akan memberi kelebihan yang cukup besar kepada pemain muda untuk terus mempertingkatkan kualiti permainan mereka.

“Ini adalah satu perkembangan yang positif di mana ini peluang kepada pelatih-pelatih AMD untuk menimba pengalaman bertanding di peringkat tertinggi.

Di sini mereka boleh buktikan kepada peminat bola sepak yang mereka juga boleh bersaing dengan pasukan dari luar negara seperti PSG dan beberapa kelab ternama dari serata dunia.”

Dalam pada itu, Hasnizam juga teruja dengan kehadiran lebih ramai jurulatih-jurulatih muda yang semakin mendapat tempat menerusi pengenalan program pembangunan seperti Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari.

Beliau melihat situasi ini sebagai kelebihan yang cukup besar untuk memastikan masa depan bola sepak negara yang lebih cerah dan terjamin dengan kehadiran jurulatih tempatan berkualiti yang mampu membimbing pasukan.

“Itu objektif utama NFDP diwujudkan kerana selain kita melatih dan melahirkan pemain muda, kita juga melahirkan jurulatih muda untuk diketengahkan di masa hadapan.

Dengan teknologi terkini, jurulatih muda lebih cepat untuk menerimanya.”

Mengikut jejak langkah adalah anak beliau, Aisy Al-Hakim yang kini menjadi antara salah seorang prospek muda yang semakin meningkat naik bersama Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Terdahulu, Aisy berjaya membantu skuad B-16 negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Osmera Omaro untuk menempah slot ke Piala Asia B-17 tahun hadapan.

“Apa yang saya lihat adalah perkembangan yang begitu baik namun saya ingin beliau belajar dan terus belajar kerana di sini perlu ada matlamat bukan sahaja bola sepak malah pendidikan.

Saya amat menitikberatkan pelajaran, sekiranya kita ingin menjadi pemain yang baik, kita perlu mempunyai tahap intelektual yang baik bagi bersaing dengan pemain di luar negara.”