Usaha Majlis Sukan Negeri Terengganu bantu SMK Ibrahim Fikri layak ke perlawanan akhir Plate B13

792

Ketua jurulatih SMK Ibrahim Fikri mengucapkan kesyukuran beliau terhadap sokongan serta bantuan tanpa henti yang telah diberikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu kepada pasukan kendaliannya di dalam kejohanan Piala Supermokh tahun ini.

Usaha yang dilakukan oleh organisasi tersebut menjadi pembakar semangat kepada barisan kejurulatih serta para pemain dalam memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan.


“Pertama sekali saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu di bawah pengurusan akademi yang telah bersusah payah menyediakan pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Syed Azla turut gembira dengan pencapaian anak buahnya selepas mereka berjaya menewaskan pasukan NFDP Regional di peringkat separuh akhir kategori Plate.

Perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan tersebut berpihak kepada pasukan SMK Ibrahim Fikri menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketangkasan penjaga gawang, Aiman Shahdan jadi antara penyebab utama kemenangan yang berjaya dicapai pada hari ini.

“Apa yang kita rancang berjalan dengan baik dan pemain saya menunjukkan semangat juang yang begitu jitu.

Saya beritahu pemain kita perlu bertahan di blok bawah, saya bersuyuku kerana penjaga gol kita beraksi dengan cemerlang pada perlawanan kali ini.”

Syed Azla bagaimanapun mengakui masalah yang perlu dihadapi oleh beliau dalam menyusun strategi untuk pasukannya.

Meskipun mengejar kemenangan, beliau tetap dengan pendirian untuk memberikan minit permainan yang mencukupi kepada semua pemain yang dibawa sebagai medan untuk mereka menimba ilmu di kejohanan seperti ini.

“Itu masalah pasukan saya, pemain kesebelasan utama dan simpanan memiliki perbezaan yang sedikit besar.

Tapi untuk kejohanan ini kita akan bagi semua bermain kerana kemenangan itu adalah yang kedua supaya mereka cepat sesuaikan diri, perlawanan sebesar ini akan mematangkan mereka.”

Untuk perlawanan bertemu AMD Cougars B13 pada esok hari (30 Oktober), Syed Azla perlu merangka semula susun atur pemain memandangkan ada di antara mereka yang mengalami kecederaan kesan daripada perlawanan panjang.

“Mungkin akan ada pertukaran kerana tadi kita berlawan dengan NFDP yang menggabungkan zon Tengah.

Esok kita akan bertemu pasukan AMD yang pernah menewaskan kita sebelum ini peringkat kumpulan, alang-alang ke final, kita hendak mencapai kemenangan.”