Jurulatih Cerezo Osaka tidak sabar untuk lihat generasi AMD sekarang beraksi di J-League

1,427

Ketua jurulatih Cerezo Osaka B14, Masahiro Ikeda kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain Malaysia yang kini mewakili Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sepanjang kejohanan Piala Supermokh 2022.

Kualiti yang dimiliki oleh para pemain ini memungkinkan mereka untuk memiliki masa depan cerah dalam mengembangkan karier mereka ke tahap yang lebih tinggi.


“Ada kemungkinan yang tinggi buat pemain muda Malaysia, saya teruja untuk melihat generasi AMD yang ini untuk beraksi di J-League satu hari nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau gembira dengan peluang dimiliki oleh anak buahnya untuk bersaing di kejohanan kali ini.

Penyertaan Cerezo Osaka B14 pada edisi kali ini membolehkan mereka bertemu dengan akademi handalan dunia seperti Paris Saint-Germain yang memiliki pemain-pemain muda berkualiti tinggi serta memiliki kelebihan dari segi fizikal mereka yang jauh lebih besar dari pemain Asia.

Meskipun cemerlang di peringkat kumpulan, mereka terpaksa akur dengan kehebatan pasukan PSG B14 yang nyata lebih mendominasi.

Kedudukan semasa di dalam Kumpulan B meletakkan mereka di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu wakil negara, AMD Panthers B14 pada esok hari (30 Oktober).

“Saya sangat teruja dengan kejohanan antarabangsa seperti ini yang disertai oleh banyak negara.

Terima kasih kepada NFDP, kami akan bersedia untuk perlawanan terakhir esok bagi merebut tempat ketiga.”

Terdahulu, mereka dengan mudah membenam sebuah lagi pasukan Malaysia, AMD Cougars dengan jaringan besar, 5-0.

“Keputusan menang besar adalah bagus tetapi masih ada yang perlu diperbaiki oleh saya dan pasukan selepas ini.”

Ikeda juga percaya bahawa pasukan kendaliannya mampu mengekalkan momentum yang baik walaupun terpaksa beraksi di dalam cuaca hujan yang begitu lebat.

“Beza Malaysia dengan Jepun adalah dari segi kelembapan, melebihi daripada 85%.

Walaupun dengan cuaca hujan, pemain sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang keadaan.”