Koki Kobayashi kagum dengan semangat berjuang pelatih AMD di kejohanan Piala Supermokh

182

Jurulatih Cerezo Osaka B14, Koki Kobayashi akui beliau cukup kagum dengan semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh para pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sepanjang kejohanan Piala Supermokh tahun ini.

Dengan prestasi yang dipamerkan, beliau tidak menolak kemungkinan besar untuk melihat kehadiran lebih ramai pemain dari Malaysia untuk mewarnai saingan J-League selepas ini.


“Kedua-dua pasukan dari Malaysia memperlihatkan semangat berjuang yang begitu tinggi dan kuat.

Pada masa depan, tidak mustahil pemain Malaysia berada di J-League,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau turut gembira dengan persembahan yang diperagakan oleh anak buahnya sepanjang bertanding di kejohanan ini.

Cerezo Osaka B14 berjaya menamatkan saingan Piala Supermokh kali ini di kedudukan ketiga selepas cemerlang di aksi terakhir.

“Walaupun ia adalah perlawanan yang sukar menentang pasukan AMD Panthers B14, saya berbangga dengan kemenangan yang berjaya dicapai pada hari ini.”

Terdahulu, mereka berjaya menumpaskan pasukan AMD Panthers B14 di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dominasi yang ditunjukkan dari minit pertama perlawanan membolehkan mereka mudah memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 4-1.

“Meskipun kami terpaksa berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, tetapi pasukan kami tetap mampu bermain dengan baik.

Pasukan Cerezo Osaka juga berjaya bermain dengan baik hari ini walaupun bermain di bawah panas terik.”

Beliau percaya bahawa banyak manfaat yang berjaya diperoleh oleh para pemainnya sepanjang bertanding di Malaysia.

“Kesemua barisan kejurulatihan dan pengurusan menyedari bahawa para pemain bertambah baik dari hari ke hari sepanjang kejohanan antarabangsa ini.”