Ekhsan Bukharee percaya jurang pemain muda Malaysia tidak besar dibandingkan negara lain

350

Ketua jurulatih AMD Panther B14, Ekhsan Bukharee optimis dengan kemampuan pemain-pemain muda terutamanya darpadai Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) untuk terus menyinar di peringkat yang lebih tinggi.

Terdahulu, pasukan Malaysia telah mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan sewaktu mereka menyertai kejohanan UEFA U15 Development Tournament yang berlangsung di Macedonia Utara September lalu.


“Saya yakin dan percaya kerana kita sebelum ini ke Bangkok dan juga beraksi di pertandingan UEFA di Macedonia.

Secara peribadinya, jurang pemain kita tidak terlalu besar, dari segi individu kita cukup pemain yang berkualiti hanya memerlukan kehadiran jurulatih yang lebih baik dari pelbagai aspek,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemainnya sepanjang beraksi di kejohanan Piala Supermokh tahun ini meskipun mengakhiri saingan di kedudukan keempat.

Mereka terpaksa akur tewas di tangan Cerezo Osaka, 4-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Perlawanan pada hari ini sedikit merosot kerana kita dah bertungkus lumus tanpa rehat.

Memang keputusan mengecewakan, tetapi kita kena pandang kepada prestasi baik sepanjang kejohanan.”

Antara aspek di dalam pasukan bimbingannya yang akan menjadi sasaran untuk Ekhsan perbaiki selepas ini adalah kemampuan pemainnya mengawal di bahagian tengah.

Ini kerana, bahagian tersebut menjadi antara kekurangan utama buat pasukannya sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya perlu perbaiki bahagian tengah kerana kita tidak akan mampu gerakkan bola jika memiliki pemain tengah yang statik.

Keseluruhan pasukan tiada masalah, cuma kita perlu berikan fokus kepada bahagian ini.”

Beliau juga berharap agar para pemainnya tidak kecewa terlalu lama untuk kembali bangkit menghadapi saingan yang lebih hebat selepas ini.

Pengalaman serta kekecewaan pada hari ini seharunya menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus cemerlang selepas ini.

“Mereka perlu tahu bola sepak bukan sekadar satu kekalahan, kita akan terima beribu lagi kekalahan.

Kita perlu menerima proses ini sebagai pengalaman yang baik untuk mencapai tahap yang lebih baik di masa depan.”